Seminar Penyelidikan Pendidikan

(Hazniza45) #1
ASHERA BINTI MOHD YAHIAH
NAMA PENYELIA: EN. ISMAIL BIN AG PIUT
JABATAN PENGAJIAN MELAYU
ANALISIS KESILAPAN BAHASA DALAM PERTUTURAN TIGA
ORANG MURID PENUTUR NATIF DI SK PEKAN TUARAN, SABAH

ABSTRAK
Penguasaan berbahasa kebangsaan perlu untuk meningkatkan ilmu, kemahiran dan kompetensi
seseorang murid. Kajian lepas mendapati tahap penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam
pertuturan murid penutur natif di sekolah rendah masih pada tahap yang kurang memuaskan.
Justeru, kajian ini dijalankan bertujuan untuk menganalisis kriteria kesilapan bahasa dalam
pertuturan murid penutur natif tahun enam di Sekolah Kebangsaan Pekan Tuaran, Sabah dan
memperincikan faktor berlakunya kesilapan bahasa tersebut. Tiga orang murid yang mempunyai
pencapaian terendah dalam matapelajaran Bahasa Melayu dipilih sebagai subjek kajian. Kaedah
pemerhatian dan temubual berstruktur digunakan selama empat minggu dalam proses
pengumpulan data. Pendekatan Analisis Kesilapan Bahasa Corder dan Kerangka Teoritikal Lutfi
Abas pula diaplikasikan oleh pengkaji untuk menganalisis dapatan kajian. Dapatan kajian
menunjukkan bahawa murid melakukan kesilapan bahasa seperti penggunaan imbuhan yang
salah, penggunaan perkataan campuran bahasa dialek dan bahasa asing, dan pemilihan kata atau
istilah yang tidak sesuai, menyebut perkataan dengan sebutan yang tidak betul. Hasil kajian juga
mendapati bahawa kesilapan aspek penggunaan perkataan bahasa dialek dan bahasa asing serta
menyebut perkataan dengan sebutan yang tidak betul paling banyak dilakukan oleh murid.
Berdasarkan temubual, murid melakukan kesilapan bahasa disebabkan gangguan bahasa ibunda,
gangguan psikologi, dan faktor persekitaran. Bagi menangani masalah ini, strategi pengajaran dan
pembelajaran bahasa hendaklah ditingkatkan. Selain itu, latihan dan bimbingan berterusan juga
perlu dititikberatkan oleh tenaga pengajar bagi memastikan murid bertutur menggunakan bahasa
Melayu yang betul pada tahap yang memuaskan.
.


ABSTRAK
Penyelidikan tindakan ini dijalankan untuk meningkatkan kemahiran membina ayat berdasarkan
gambar dalam kalangan murid Tahun Empat dengan menggunakan kaedah PPOH. Melalui teknik
ini, peserta kajian akan dapat membina ayat yang lengkap dan betul. Kajian ini dilaksanakan di
sebuah sekolah daerah Tuaran, Sabah. Model Kurt Lewin (1948) telah digunakan dalam kajian ini.
Seramai lima orang peserta kajian yang terlibat dengan kajian ini terdiri daripada empat orang
lelaki dan seorang perempuan Tahun Empat. Kaedah pengumpulan data yang digunakan adalah
melalui ujian (pra dan pos), analisis dokumen, analisis ujian kemajuan setiap intervensi dan
kaedah pemerhatian. Fokus bagi kajian ini adalah untuk membina ayat berpandukan gambar
dengan menggunakan kaedah PPOH. Terdapat peningkatan yang signifikan dalam kemahiran
membina ayat dengan menggunakan kaedah PPOH untuk semua peserta kajian berdasarkan
dapatan hasil analisis. Keputusan kajian ini menunjukkan bahawa kaedah PPOH ini adalah
berkesan untuk membantu murid dalam meningkatkan kemahiran membina ayat berdasarkan
gambar dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.


MUHAMMAD AIZAT SHAKIMI BIN MAZUKI
NAMA PENYELIA: EN. ISMAIL BIN AG PIUT
JABATAN PENGAJIAN MELAYU
MENINGKATKAN KEMAHIRAN MEMBINA AYAT BERDASARKAN
GAMBAR DALAM KALANGAN MURID TAHUN EMPAT DENGAN
MENGGUNAKAN KAEDAH PPOH
Free download pdf