191
Bahan Sumber IBSE
Lee Chuo Hiong, Muyang Anak Jami dan Koay Suan See
Pengenalan
Peserta-peserta perlu memperkembangkan kemahiran dan pengetahuan tentang Inquiry-Based
Science Education (IBSE) yang diperoleh daripada Bengkel IBSE melalui banyak pembacaan dan
pencarian maklumat tambahan secara sendiri. Dengan itu, adalah perlu memberi pendedahan
kepada para peserta tentang beberapa petua penting untuk memperoleh maklumat tambahan IBSE.
Terdapat banyak bahan sumber IBSE yang dapat dicapai sama ada dalam bentuk bercetak dan
tidak bercetak atau luar talian (offline) dan dalam talian (online).
Namun begitu, bahan sumber IBSE yang sedia ada perlulah digunakan secara bijak supaya dapat
dimanfaatkan secara maksimum dalam pengajaran dan pembelajaran. Berdasarkan pengalaman,
bukan semua bahan sumber IBSE yang diperoleh atas talian dapat digunakan terus dalam kelas.
Antara masalah yang paling kerap dihadapi ialah bahasa yang digunakan, kesukaran mencapai
bahan / alat yang sama, kekangan masa, dan perbezaan kurikulum. Selalunya guru perlu mengubah
suai bahan sumber IBSE yang sedia ada ini supaya bersesuaian dengan konteks pengajaran dan
pembelajaran kelas mereka. Jika kerja ini dilakukan secara bersendirian, ia semestinya amat
membebankan dan mengambil masa yang lama. Keadaan akan menjadi berbeza, jika guru-guru
dapat berkongsi dan menyebarluaskan amalan IBSE terbaik masing-masing. Dengan adanya usaha
yang berkekalan seperti ini, sudah tentu koleksi bahan sumber IBSE yang bersifat “tempatan”
dapat diperkayakan. Justeru, masalah kekurangan sumber rujukan yang sesuai dapat
diminimumkan.
Ringkasan aktiviti
Peserta bengkel diberi pendedahan tentang bahan-bahan sumber IBSE yang boleh diakses oleh
mereka sendiri sebagai panduan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran IBSE. Bahan sumber
yang akan diperkenalkan kepada peserta boleh dikategorikan kepada (i) organisasi (dalam talian),
(ii) buku (dalam talian / bercetak), (iii) artikel jurnal (dalam talian), (iv) video (dalam talian).
Peserta juga dikehendaki menyediakan tapak dalam Google Drive untuk berkongsi bahan sumber
IBSE dalam kalangan guru mengikut negeri / PPD.
Objektif
Di akhir slot ini, peserta dapat:
- Memahirkan guru-guru mencari bahan sumber IBSE.
- Membudayakan perkongsian dan menyebarluaskan bahan sumber IBSE secara berkolaborasi.
Alat dan bahan: Komputer riba, telefon pintar dan talian internet
Masa: 2 jam