75
Amalan sains
Mendapatkan dan menilai maklumat, serta berkomunikasi tentang maklumat: Membaca, membuat
tafsiran dan menghasilkan teks merupakan amalan asas dalam sains, dan ia menggunakan
sekurang-kurangnya separuh daripada waktu bekerja para jurutera dan saintis (Tenopir & King,
2004). Komunikasi dalam bentuk penulisan atau lisan merupakan amalan asas yang lain bagi sains
dan kejuruteraan (National Research Council, 2012).
Membina penjelasan: Matlamat sains adalah untuk membina penjelasan bagi penyebab suatu
fenomena. Murid diharapkan dapat menggunakan bukti (evidence) untuk membina penjelasan.
Melibatkan diri dalam penghujahan berdasarkan bukti: Penghujahan (argumentation) adalah
proses untuk mencapai persetujuan mengenai penjelasan. Dalam sains, penaakulan dan
penghujahan berpandukan bukti sangat penting dalam mengenal pasti penjelasan yang terbaik bagi
suatu fenomena semula jadi. Murid diharapkan dapat (i) berhujah tentang penjelasan yang dibina,
dan (ii) mendengar, membanding, menilai idea pesaing dan seterusnya menambah baik penjelasan.
Ringkasan aktiviti
Pendekatan inkuiri yang dilaksanakan oleh para murid boleh jadi merangkumi beberapa kaedah
termasuk eksperimen secara langsung, penghasilan objek atau model, penggunaan instrumen
untuk pemerhatian dan perekodan, kajian berasaskan dokumen, serta penghasilan pembentangan
dengan pelbagai jenis media (Pollen, 2009).
Dalam aktiviti ini, peserta akan melibatkan diri dalam protokol/kaedah (i) pemerhatian (termasuk
memerhati imej dalam dokumen), serta document-based research (dengan membaca dokumen
dalam talian dan hardcopy atau menemu bual pakar (jika sesuai)). Peserta akan membuat
pemerhatian untuk mengenal pasti ciri-ciri haiwan, membanding dan membeza ciri-ciri tersebut
dan mencadangkan sistem/kaedah untuk membuat pengelasan. Aktiviti ini turut memfokuskan
beberapa amalan sains seperti mendapatkan dan menilai maklumat, serta berkomunikasi tentang
maklumat; membina penjelasan; dan melibatkan diri dalam penghujahan berdasarkan bukti.
Objektif
Di akhir slot ini, peserta dapat:
- Memahami amalan mendapatkan dan menilai maklumat, serta berkomunikasi tentang
maklumat. - Menyedari bahawa inkuiri boleh berlaku melalui pembacaan bahan edaran atau dokumen
dalam talian atau temu bual pihak yang berkelayakan (kajian berasaskan dokumen).
Alat dan bahan: Bahan bercetak (Lampiran S7-1 dan S7-2), kertas A4, kertas sebak, pen marker
Masa: 180 minit