103
Proses Reka Bentuk Kejuruteraan TeachEngineering
Rajah 4: Proses Reka Bentuk Kejuruteraan TeachEngineering
Sumber: https://www.teachengineering.org/design/designprocess
National Research Council (2012) dan NGSS Lead States (2013) telah mengenal pasti
tiga perkara utama yang perlu ada dalam reka bentuk kejuruteraan iaitu:
i. Mendefinisi dan menetapkan batas masalah kejuruteraan – Menyatakan dengan
jelas masalah yang perlu diselesaikan dari segi kriteria untuk kejayaan, dan
kekangan atau batas.
ii. Membangunkan penyelesaian-penyelesaian yang mungkin – Menjana
penyelesaian-penyelesaian yang mungkin, diikuti dengan menilai penyelesaian-
penyelesaian tersebut untuk menentukan pilihan terbaik yang memenuhi kriteria
dan kekangan masalah.
iii. Mengoptimumkan penyelesaian – Penyelesaian diuji secara sistematik dan
diperhalusi melalui proses trade-off, di mana penyelesaian akhir ditambah baik
dengan mempertimbangkan pelbagai kriteria dan membuat keputusan untuk
menerima kriteria yang kurang penting/tidak diingini supaya memiliki kriteria lain
yang lebih penting berdasarkan situasi dan keperluan pengguna.
Proses reka bentuk kejuruteraan adalah berasaskan peraturan pemikiran reka bentuk
(rules of design thinking) (Meinel & Leifer, 2011):
Peraturan manusia (human rule): Pereka bentuk berkolaborasi antara satu sama lain,
pereka bentuk terdahulu, dan mendapatkan input dari pengguna semasa
membangunkan sesuatu inovasi. Inovasi yang dibangunkan bertujuan untuk
menyelesaikan masalah manusia supaya memenuhi kehendak manusia, bukan hanya
memfokuskan pada teknologi. Jadi pereka bentuk perlu memiliki sifat empati pada
pengguna supaya dapat memahami keperluan dari sudut pandangan pengguna dalam
membangunkan sesuatu inovasi.