105
untuk mengenal pasti penyelesaian terbaik untuk suatu masalah (National Research Council,
2012; NGSS Lead States, 2013). Murid harus berhujah untuk menjelaskan reka bentuk yang
dibina, mempertahankan justifikasi bagi data tertentu dan menyokong reka bentuk yang
dicadangkan.
Ringkasan aktiviti
Penggunaan tenaga dan pencemaran alam sekitar merupakan antara masalah utama yang
dihadapi masyarakat kini. Dengan membina kereta yang cekap tenaga, jurutera dapat
mengurangkan kesan negatif pada alam sekitar dan akhirnya meningkatkan kesejahteraan
kehidupan kita. Kecekapan tenaga sesebuah kereta dipengaruhi oleh pelbagai faktor, termasuk
saiz, aerodinamik, berat badan kereta, rintangan putaran roda dan lain-lain. Jurutera mesti
mengetahui semua faktor ini bagi mereka bentuk kereta yang lebih baik.
Dalam aktiviti ini, peserta (dalam kumpulan) mengemukakan soalan untuk mengenal pasti
masalah yang akan diselesaikan, iaitu memaksimumkan kecekapan tenaga kereta. Peserta
mengikuti “langkah” dalam proses reka bentuk kejuruteraan, menggunakan pemikiran
kejuruteraan dan berkolaborasi semasa mereka bentuk penyelesaian.
Pendekatan pembelajaran berasaskan mereka bentuk ini merupakan satu projek interdisiplin
STEM. Peserta akan membangunkan dan menggunakan kemahiran yang diamalkan oleh
saintis dan jurutera (atau amalan sains dan kejuruteraan), khasnya kemahiran mengemukakan
soalan dan mendefinisi masalah, membina penjelasan dan mereka bentuk penyelesaian, serta
melibatkan diri dalam penghujahan berdasarkan bukti (menjustifikasikan reka bentuk kereta
yang dihasilkan berdasarkan konsep sains dan metematik) untuk menyelesaikan masalah.
Pembelajaran berasaskan mereka bentuk merupakan satu pendekatan berasaskan inkuiri dan
penaakulan ke arah menghasilkan artifak, sistem dan penyelesaian yang inovatif (Puente, van
Eijck & Jochems, 2013).
Aktiviti ini (yang berasaskan mereka bentuk dan inkuiri secara berkolaboratif) tidak
mementingkan produk akhir tetapi menekankan proses mereka bentuk kereta. Pembelajaran
akan berlaku di sepanjang proses mereka bentuk apabila peserta meneroka idea, merancang
reka bentuk dan mencari penyelesaian kepada masalah. Peserta meneroka idea dan berfikir
mengenai kereta yang ingin dihasilkan (berdasarkan konsep sains dan matematik) dan
seterusnya mereka bentuk kereta tersebut. Kemudian, peserta perlu menguji reka bentuk yang
dihasilkan dan menambah baik reka bentuk tersebut. Seterusnya, reka bentuk yang terhasil
dikongsi dan dipersembahkan kepada rakan-rakan dan guru bagi mendapatkan input dan
komen. Penambahbaikan kemudian dilakukan ke atas reka bentuk berdasarkan input dan
komen tersebut. Akhir sekali, peserta bersama fasilitator berbincang mengenai pengalaman dan
kemahiran yang diperoleh sepanjang proses mereka bentuk kereta. Proses pembelajaran ini
berupaya membantu peserta menjana idea baharu (inovasi) dan mengembangkan kreativiti
dalam kalangan peserta jika berlaku secara berterusan. Tambahan, aktiviti ini memberi peluang
kepada peserta untuk membuat refleksi terhadap pengetahuan/idea sedia ada, dan seterusnya
menstruktur semula idea.
Melalui aktiviti ini, peserta diharapkan dapat melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti
interdisiplin STEM yang menimbulkan rasa ingin tahu dan membolehkan mereka
mengemukakan soalan, berkolaborasi, mereka bentuk, membina, menyiasat serta