114
Lampiran S10-1
Pembelajaran berasaskan inkuiri diaplikasikan dalam disiplin STEM
Pembelajaran berasaskan inkuiri mendorong pemahaman dan pembangunan kemahiran yang
diperlukan oleh murid pada abad ke-21. Pendekatan ini sesuai digunakan dalam semua disiplin
STEM.
Inkuiri saintifik merujuk kepada proses pemikiran atau amalan yang digunakan oleh saintis
untuk menyiasat dan menjawab soalan mengenai alam semula jadi (National Research Council,
2001; NGSS Lead States, 2013), termasuklah mengemukakan soalan, mereka bentuk
penyiasatan untuk menjawab soalan, menggunakan peralatan yang sesuai untuk
menginterpretasi dan menganalisis data, membina penjelasan berdasarkan bukti, dan
berkeupayaan untuk berkomunikasi tentang hubungan antara bukti dan penjelasan yang dibina.
Melalui aktiviti inkuiri saintifik, murid dapat mengaplikasikan amalan dan pemikiran saintis,
dan seterusnya menemui pengetahuan sains sendiri dan memahami cara kerja saintis. Di
samping itu, murid dapat mengetahui dan memahami fenomena yang berlaku sepanjang proses
penyiasatan.
Inkuiri matematik telah dikonsepsikan seperti inkuiri saintifik dan biasanya merujuk kepada
proses di mana murid dilibatkan dalam amalan ahli matematik dan saintis: Memerhati
fenomena, mengemukakan soalan, menggunakan kaedah matematik dan saintifik untuk
menjawab soalan-soalan ini (seperti menjalankan eksperimen, mengawal pemboleh ubah,
melukis diagram, mengira, mencari corak dan hubungan, dan membuat konjektur dan
generalisasi), menginterpretasi dan menilai penyelesaian, serta berkomunikasi dan
membincangkan penyelesaian dengan berkesan (Dorier & Maass, 2020).
Dalam pendidikan teknologi dan kejuruteraan, pembelajaran berasaskan inkuiri mendasari
pendekatan pembelajaran berasaskan mereka bentuk (design-based learning). Pembelajaran
berasaskan mereka bentuk melibatkan penghasilan artifak, sistem dan penyelesaian yang
inovatif (Puente, van Eijck & Jochems, 2013). Murid dilibatkan dalam menyelesaikan masalah-
masalah dunia sebenar serta mengaplikasikan proses penaakulan dan amalan reflektif.
Pendekatan pembelajaran berasaskan mereka bentuk telah menarik minat para pendidik kerana
aktiviti mereka bentuk
melibatkan murid sebagai peserta aktif.
menggalakkan penyelesaian masalah secara kreatif.
memudahkan hubungan peribadi dengan pengetahuan kerana rasa kepemilikan terhadap
produk/idea yang dihasilkan akan terbentuk.
adalah interdisiplin dan menyatukan konsep STEM.
membangunkan sense of audience di mana murid meletakkan diri pada sudut pandangan
dan perasaan orang lain.
memberikan peluang untuk membuat refleksi, berkolaboratif dan perbincangan untuk
memperoleh pemahaman yang lebih mendalam tentang pengetahuan yang berkaitan.
menubuhkan positive-feedback loop of learning: Apabila murid mereka bentuk sesuatu,
murid memperoleh idea baharu dan mendorong mereka mencipta lebih banyak
produk/idea. Proses ini berlaku secara berterusan dan idea baharu sentiasa berkembang
(Resnick, Rusk & Cooke, 1998; Resnick, 2003).