129
Walaupun terdapat perbezaan dalam pengelasan dan interpretasi kemahiran yang diperlukan
dalam abad ke-21, namun masih terdapat kesamaan seperti kreativiti/kreatif, komunikasi,
kolaboratif/berkerjasama dan literasi TMK.
Apakah pendekatan atau model yang dapat membangunkan kemahiran ini dalam pendidikan
sains?
Mencipta pengalaman praktik kemahiran abad ke-21 melalui pedagogi berpusatkan pelajar.
Pelbagai pendekatan yang dapat memberikan pengalaman kepada pelajar untuk mengamalkan
kemahiran abad ke-21 telah disarankan oleh para penyelidik dalam pemupukan kemahiran abad
ke-21. Antaranya termasuklah pembelajaran berasaskan inkuiri (DeHaan, 2009; Kamisah, Lee
& Rian, 2013; Kuhlthau, 2010; Lee & Kamisah, 2013; Partnership for 21st Century Skills,
2009), pembelajaran berasaskan projek (Bell, 2010; CEO Forum on Education & Technology,
2001; Pacific Policy Research Center, 2010; Partnership for 21st Century Skills, 2009; Shear
et al., 2010), pembelajaran berasaskan masalah (Kamisah, Lee & Rian, 2013; Pacific Policy
Research Center, 2010; Partnership for 21st Century Skills, 2009; Rian & Kamisah, 2014), dan
pembelajaran melalui mereka bentuk (Brennan & Resnick, 2013; Pacific Policy Research
Center, 2010; Resnick, 2003). Model instruksi seperti BSCS 5E Instructional model (Bybee et
al., 2006) dan Needham's Five Phase Constructivist Model (Needham & Hill, 1987) turut
dicadangkan. Pendekatan dan model tersebut sebenarnya berlatarbelakangkan teori
pembelajaran konstruktivisme dan constructionism.
Pembangunan kemahiran abad ke-21 melalui pembelajaran berasaskan inkuiri
Addressing the need to develop 21st-century workforce skills will require students to
have experience with activities, investigations, and experiments. In a word, science
teaching needs to be inquiry-oriented. (Bybee, 2010, p.135)
Pembelajaran melalui inkuiri saintifik merujuk kepada proses membina pemahaman dengan
mengembangkan dan menggunakan kemahiran inkuiri yang digunakan oleh saintis (atau
amalan sains) seperti mengemukakan soalan, mengumpulkan data, menaakul dan mengkaji
semula bukti berdasarkan apa yang sudah diketahui, membuat kesimpulan dan
membincangkan hasil. Pemahaman inkuiri di sini berkaitan dengan pengembangan idea
saintifik (atau 'big idea') yang membolehkan murid memahami peristiwa dan fenomena di
dunia sekitarnya (Fibonacci Project, 2012).
Pembelajaran berasaskan inkuiri melibatkan pelajar menjalankan penyiasatan. Mereka
menggunakan kemahiran inkuiri seperti mengemukakan soalan, menyatakan hipotesis,
merancang eksperimen untuk menguji hipotesis, mengakses dan menganalisis data, membuat
inferens, membuat kesimpulan berdasarkan eviden, menjana penjelasan dan membuat
justifikasi, serta membuat pelaporan untuk tujuan berkomunikasi (Kamisah, Lee & Rian, 2013;
Lee & Kamisah, 2013). Penglibatan dalam proses inkuiri membolehkan pelajar memahami
nature of science (Holbrook & Rannikmae, 2009) dan memupuk pelbagai kemahiran abad ke-
21 seperi literasi sains, literasi maklumat, belajar cara belajar, metakognitif, kemahiran
bersosial dan kreativiti dapat dipupuk (DeHaan, 2009; Kuhlthau, 2010; Murcia, 2007).
Secara ringkasnya, bilik darjah sains yang berorientasikan inkuiri dapat memberi peluang
kepada pelajar untuk mempelajari kemahiran abad ke-21 di samping memperoleh pengetahuan
sains.