Selain itu, penggunaan racun serangga yang berasaskan kimia juga
perlu diminimakan, diganti dengan racun serangga mesra alam agar tidak
membunuh keseluruhan serangga mahupun menjejaskan kesihatan
manusia. Penggunaan perangkap pheromone ke atas Kumbang Badak
yang merupakan perosak utama kepada tanaman kelapa sawit dapat
mengurangkan lagi impak kepada spesies serangga yang tidak berkaitan.
Penangkapan serangga sebagai koleksi peribadi ataupun dijual sebagai
cenderahati adalah dilarang sama sekali melainkan penangkapan yang
bertujuan untuk penyelidikan. Permit untuk penyelidikan haruslah
diperolehi dari Majlis Biodiversiti Sabah bagi konteks negeri Sabah. Hal ini
secara langsung dapat membantu untuk mengawal kemerosotan populasi
serangga. Etika juga diterapkan kepada ahli entomologi semasa
menangkap, mengambil dan mengawet serangga untuk meminimakan
impak populasi serangga. Ahli entomologi di Pusat Penyelidikan
Perhutanan Sepilok mengamalkan teknik pengambilan gambar serangga
sahaja bagi serangga yang sering ditemui untuk direkodkan kecuali
serangga yang mempunyai kepentingan dari segi penyelidikan lanjutan.
Pelaksanaan pemuliharaan ex-situ juga adalah salah satu inisiatif untuk
menyumbangkan kesan positif kepada populasi serangga. Teknik
pemeliharaan ex-situ serangga adalah lebih kurang seperti memelihara
hidupan liar di dalam zoo. Kipandi Park di Moyog, Sabah dan Entopia di
Pulau Pinang adalah contoh agensi yang memelihara kupu-kupu bermula
dari peringkat ulat sehingga peringkat dewasa. Langkah ini juga mungkin
boleh diterapkan dalam kalangan pelajar di peringkat permulaan sekolah
agar dapat memupuk semangat kecintaan terhadap serangga dan alam
sekitar, dalam masa yang sama membantu dalam usaha memulihara
populasi serangga.