BAB 1 PENGENALAN
Serangga dan Hutan Tropika
Serangga telah mendiami permukaan bumi kira-kira 350 juta tahun
dahulu, berbanding dengan manusia yang hanya lebih kurang 2 juta
tahun. Dalam peredaran masa tersebut, proses evolusi berlaku di mana
mereka mengadaptasikan diri habitat masing-masing. Namun, dalam
dunia sebenar, mereka juga dicabari pelbagai rintangan seperti diburu
oleh pemangsa, berdepan dengan keadaan cuaca yang melampau dan
lain-lain cabaran hidup. Oleh itu, mereka mempunyai cara tersendiri untuk
membolehkan mereka terus hidup. Serangga yang seringkali dilihat di
hampir kesemua kawasan adalah seperti kupu-kupu, semut dan lebah.
Jumlah spesies serangga yang dianggarkan di dunia adalah kira-kira 30
juta spesies.
Hutan di Malaysia pula merupakan hutan hujan tropika yang juga
dikenali sebagai hutan hujan malar hijau kerana keadaan hutannya
sentiasa hijau sepanjang tahun. Ciri-ciri hutan hujan tropika adalah
keadaan hutan yang mempunyai suhu yang basah, panas dan mempunyai
pelbagai pokok hijau sepanjang tahun. Hutan hujan tropika tidak
mengalami empat musim seperti di Eropah.
Satu fakta yang menarik berkenaan dengan hutan hujan tropika ialah ia
mempunyai pelbagai spesies serangga seperti kupu-kupu, rama-rama,
kumbang, pepatung dan lain-lain serangga. Pusat Penyelidikan
Perhutanan Sepilok juga mempunyai sebuah koleksi serangga bertujuan
sebagai rujukan khususnya kepada penyelidik-penyelidik dan pelajar dari
luar mahupun dalam negara. Koleksi serangga tersebut menyimpan kira-
kira 180,000 spesimen serangga dan lebih kurang 18,000 spesimen telah
dikenalpasti setakat ini. Pusat koleksi serangga ini juga merupakan
khazanah negara kerana telah menyimpan pelbagai jenis serangga untuk
tujuan penyelidikan perhutanan.