MEMOIR GURU PRAKTIKUM TERKINI WITH E-ISBN (1)

(IPGKP kentFIP3vJ) #1
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, syukur ke hadrat-Nya
kerana memberi peluang kepada kami, guru pelatih dari Institut Pendidikan Guru (IPG)
Kampus Kent, untuk berkongsi pengalaman berharga melalui buku Koleksi Planet Pea-Ple
Siri 35: MEMOIR GURU PRAKTIKUM. Buku ini merupakan hasil refleksi mendalam dan usaha
gigih sepanjang kami menjalani praktikum Fasa 1 selama 10 minggu di sekolah rendah.
Praktikum merupakan satu fasa yang sangat bermakna dalam perjalanan seorang guru
pelatih, di mana ia bukan sahaja menguji sejauh mana teori pendidikan yang telah
dipelajari diaplikasikan, tetapi juga mengasah kemahiran komunikasi, pengurusan bilik
darjah, serta keupayaan beradaptasi dengan pelbagai situasi di lapangan sebenar.

Buku ini turut memuatkan pengetahuan dan refleksi profesional yang diperoleh sepanjang
praktikum. Kami berkongsi pengalaman praktikum yang memuatkan kisah suka duka di
sekolah, dari perasaan gementar memasuki kelas buat kali pertama hingga detik-detik
manis membimbing murid mencapai kejayaan kecil. Bahagian refleksi ini bertujuan untuk
membantu pembaca memahami perjalanan ke arah menjadi guru yang berkesan.

Tidak ketinggalan, kami menyertakan contoh-contoh Rancangan Pengajaran Harian (RPH)
yang telah digunakan semasa praktikum. Setiap RPH dirancang dengan teliti untuk
memenuhi keperluan murid dan diolah supaya menarik serta interaktif. Contoh-contoh ini
diharapkan dapat menjadi rujukan berguna kepada guru pelatih lain. Pelbagai bahan
bantu mengajar (BBM) dan inovasi yang dihasilkan sepanjang praktikum turut dikongsi,
menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan dan meningkatkan pemahaman murid.

Buku ini ditulis khas untuk guru pelatih, guru baharu, dan sesiapa sahaja yang berminat
untuk memahami cabaran serta realiti dunia pendidikan. Ia boleh dijadikan sebagai
rujukan, pencetus idea, dan motivasi dalam usaha mencipta pengalaman pengajaran
yang bermakna. Kami berharap buku ini memberikan manfaat kepada semua pembaca.
Semoga usaha kecil ini mampu menjadi sumber inspirasi, menyemarakkan semangat
mendidik, dan mendorong pembaca untuk terus berusaha menjadi pendidik yang
cemerlang.

PenghargaanPenghargaan

Free download pdf