Berikanlah kasihmu
Ubatkanlah jiwaku
Hanya engkau saja idaman
Tika hayatku di badan
Boleh dikatakan setiap malam Yajid akan memetik gambus mengalunkan
lagu itu.
Dayang tersenyum manis. Dia membuka tingkap sambil memandang ke
rumah kekasihnya. Wahai Yajid, cepatlah kau meminang aku. Aku tidak
sabar menjadi isterimu wahai Yajid. Rambutnya yang cantik hitam bersinar
dipintal-pintal dengan jari-jemarinya yang lembut. Matanya sempat menjeling
bulan yang bersinar hampir penuh. Bibirnya tersenyum lagi. Irama yang terbit
daripada petikan gambus kekasihnya itu menenangkan dan mengusik
hatinya.
PASANGAN kekasih itu berpegangan tangan lalu menuju ke kaki bukit.
Dayang meminta agar Yajid menemankannya memetik sayur pakis di situ.
“Jalanlah perlahan, Yajid. Aku takut jatuh.” Dayang merengek manja. Yajid
tersenyum nakal lalu mendukung tubuh kekasihnya. Dayang ketawa manja
sambil memaut leher Yajid.
Terdengar suara orang batuk dengan kuat. Yajid yang sedang membelai
pipi Dayang, tersentak. Dayang yang sedang memejam mata, bingkas
bangun lalu mengangkat sayur pakis di dalam bakul. Matanya melingas
mencari siapakah yang batuk tadi. Baharu sahaja mereka hendak
bercengkarama, mengacau betullah. Mata Dayang tertancap pada Awang
Setia yang sedang memikul seekor payau di bahu. Cis! Si Setia rupanya.
Kenapa dia selalu mengganggu ketenteraman hidup aku?
“Hei Setia! Berapa ekor kau dapat payau?” Yajid pura-pura bertanya untuk
melindungi rasa cemasnya. Dia berharap Setia tidak melihat perbuatan
sumbang mereka tadi. Setia berhenti melangkah, lalu menoleh. Matanya
memerhati wajah sepasang kekasih itu, lalu melangkah pergi. Tanpa
sebarang kata.
SUDAH tiga hari Dayang berkurung di dalam bilik. Peristiwa ibu bapa Setia
masuk meminangnya empat hari lepas benar-benar meremukkan
perasaannya. Dia mahu Yajid yang meminangnya, tetapi kenapa pula Setia
yang masuk meminang? Tingkap bilik dibukanya sedikit. Matanya terus