tertancap pada tubuh Setia yang sedang tekun mengukir gambus di
bangsal.Mahu saja dia berteriak pada Setia, lelaki yang tidak tahu diri itu.
Dia tahu bapanya pasti akan menerima pinangan Setia. Hasil ukiran
gambus Setia tiada tandingan. Dengan pisau kecil di tangannya, Setia akan
menghasilkan gambus yang berukiran cantik dan halus. Gambus ciptaan
Setia juga biasanya dijual dengan harga yang lebih mahal daripada gambus
buatan Haji Rafi dan Yajid. Sungguh ajaib tangan Setia itu. Tangannya boleh
merubah batangan kayu menjadi gambus yang cantik, indah dan merdu.
Dayang mendengus. Aku benci Setia. Dia lelaki sombong. Dia tidak
pandai mengambil hatiku. Aku rindu Yajid. Oh Yajid! Ke manakah kau pergi.
Kenapa kau pergi? Sejak keluarga Setia meminang Dayang, Yajid telah
menghilangkan diri. Hancur luluh hati Dayang.
MAJLIS perkahwinan Dayang dan Setia berlangsung dengan sangat
meriah. Ia adalah hari keramaian yang gilang gemilang. Berpuluh-puluh
gambus dipetik dalam majlis pertandingan gambus. Berbagai lagu dan tarian
dipersembahkan. Lagu zapin dan ghazal memang mengujakan.
Satu kejutan apabila ketua kampung meminta pengantin lelaki menari
zapin diiringi kumpulan zapin anak muda Kedayan. Suasana menjadi
semakin riuh apabila Awang Setia turun dari pelamin untuk memenuhi
permintaan ketua kampung. Dayang di atas pelamin mula ragu-ragu.
Pandaikah lelaki keras kayu macam kayu gambus itu berzapin? Dayang
mencebik bibir.
Suara sorakan dan tepukan gemuruh para tetamu melihat aksi Setia
yang lincah berzapin. Tarian Zapin itu amat memukau apabila ditarikan
secara berkumpulan. Bertambah memukau lagi ianya diiringi bunyian
gambus, rebana dan gendang. Gambus itu pula dipetik oleh Haji Rafi, pakar
gambus Kampung Manis-Manis.
Dayang ternganga. Rupanya lelaki kayu yang sudah menjadi suaminya itu,
amat halus jiwa. Mata Dayang tidak berkedip melihat setiap gerak langkah
Setia yang indah beradun. Jauh lamunannya hingga Dayang tidak sedar bila
masanya Setia sudah duduk semula di sisinya di pelamin. Serta merta
Dayang menarik muka masam. Jangan haraplah kehebatan berzapin Awang
Setia dapat menggugat hatinya.