BUNYI periuk belanga bingit di dapur. Setia tahu, angin Dayang datang lagi.
Angin mengamuk. Sudah puas dinasihati ibunya, Dayang tidak peduli. Dia
benci dengan perkahwinan paksa begitu. Dia benci pada Setia!
“Setia, sabarlah nak. Mudahan satu hari nanti Dayang akan lembut
hatinya...” Hajah Asadah dengan wajah muram sambil menganyam tikar
pandan.
“Tidak mengapa, mak. Ketika dia marah-marah, kita biarkan saja. Dia
tidak bersalah apa-apa. Setia bukan kekasih dia. Tapi dia dipaksa berkahwin
dengan Setia. Kita mesti fahami perasaan dia...” Setia meluahkan yang
terbuku di hati. Sesungguhnya yang pergi meminang Dayang adalah ibu
bapanya, tanpa pengetahun Setia. Sebagai anak yang taat, Setia patuh
sahaja kehendak ibu bapanya, meskipun dia juga tidak pernah mencintai
Dayang.
Dayang yang terdengar perbualan Setia dan ibunya, mendengus kasar.
“Kalau tahu aku tidak bersalah, kenapa kau mahu kahwin dengan aku, Setia?
Kenapa tidak kau bantah saja permintaan orang tuamu. Aku benci kau. Aku
tidak mahu kahwin dengan kau!” Dayang dengan lantang menuding jarinya
ke wajah Setia. Mukanya merah padam. Dadanya berombak kencang.
Nafasnya tercungap-cungap. Dia benar-benar marah.
Setia hanya memandang wajah Dayang. Berkali-kali Dayang
mengajaknya bergaduh, tetapi dia diam sahaja. Dia bingkas bangun lalu
menuruni tangga menuju ke bangsal gambus. Tangannya menggapai pisau
kecil lalu meneruskan kerja melarik dan mengukir gambus berukiran kepala
naga. Itulah kehidupannya.
“Aku benci kau, Setia. Benci!” Dayang menjerit sekuat-kuat hati. Hajah
Asadah cuba meredakan kemarahan Dayang. Beratus-ratus nasihat sudah
dimasukkan ke telinga Dayang. Tapi Dayang tidak mendengar kata.
BUNYI petikan gambus beralun lembut. Suasana malam yang sepi tiba-tiba
dibuai rasa damai dan indah. Lagu irama ghazal Hati Ku Di Hati Mu
berkumandang di segenap ruang rumah.
Terlukis di hatiku
Gelapnya malam itu