KARYA KREATIF ISLAMI DAN NILAI-NILAI MURNI JABATAN PENDIDIKAN ISLAM DAN MORAL

(IPGKP kentFIP3vJ) #1

PEJUANG AKHIR ZAMAN
Teruntuk ummah akhir zaman,
Yang telah Tuhan takdirkan sebagai khalifahNya di muka bumi.
Saat tangisan memecah peti suara,
Ada pilihan perlu digapai.
Kanan atau kiri menjadi tanda tanya.


Kata mereka, kalau kanan kita ikuti
Pasti susah menanti diri.
Bahagiamu tertangguh,
Nafsumu terbelenggu,
Jiwamu meronta mencari hedonisme.

Namun,
Kau dirangkul janji Tuhan.
Sabar dan solat,
Hanya itu jaminan keabadian.
Kerana Firdaus setia menunggu
Kehadiran si pelangkah kanan.

Ada pula haluan kiri,
Hayatmu indah bak sang merpati.
Bebas mengembara tanpa tembok menghalang.
Tapi kau alpa,
Kau leka pada hakikat ciptaan.
Kalbumu haus lagi tandus.
Sanubari dahaga akan makanannya.
Rohmu kau zalimi saat dia masih dikandung.

Itulah umpamanya
Hidup hamba akhir zaman, buntu memilih jihad hakiki,
Ragu dalam pencarian maknawi.
Apakah reda Tuhan jadi dambaan
Atau sekadar habuan dunia sebagai buruan?

Teruntuk pejuang akhir zaman,
Bukankah sudah dikurnia akal?
Bersulamkan ilmu bernadikan iman berteraskan pemikiran,
Kita disuruh meniti jejak Rasul
Sebagai bukti pewaris risalah Nabi.
Supaya Islam utuh di mata insani,
Syiar Tuhan jadi mercu ketaqwaan hati.
Dan agama ini teguh dalam darah sang pemburu
Rahmat Ilahi.

WAN NURAFIQAH SABRINA BINTI WAN MUSTAPA
PISMP PAI SMU JUN 2020
Free download pdf