BAHASA MELAYU KERTAS 2 SPM

(Joyce) #1

Dalam usaha menjamin kemerdekaan dan keharmonian hidup dalam negara
tercinta ini, sikap tolak ansur sesama kaum hendaklah menjadi amalan dalam
kalangan generasi muda negara. Sikap bertolak ansur atau toleransi ini akan
memastikan perpaduan dalam kalangan rakyat terbina tanpa mengira agama,
bangsa, bahasa dan adat resam. Perpaduan yang berasaskan sikap tolak ansur ini
akan memudahkan pelaksanaan segala dasar yang dibentuk atau melancarkan
segala program pembangunan yang dirancang. Oleh itu, generasi muda yang terdiri
daripada pelbagai kaum perlu memahami ciri-ciri pembentukan negara dan bangsa
yang telah termeterai dalam kontrak sosial harus dijadikan teladan. Cara ini mampu
mengelakkan rasa tidak puas hati sehingga melahirkan pertikaian sesama sendiri,
lantas menggugat kemerdekaan negara dan keharmonian hidup. Prinsip-prinsip
Rukun Negara seperti Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan
Negara, Kedaulatan Undang-undang, Keluhuran Perlembagaan, serta Kesopanan
dan Kesusilaan harus menjadi pedoman dan pegangan remaja kini. Dengan
berpegang pada prinsip-prinsip ini, para remaja dapat dipastikan menjadi modal
insan yang mempunyai asas-asas yang kukuh dalam menghadapi segala perbezaan
pendapat dan pemikiran serta cabaran hidup dalam dunia serba moden.


Kita akur dengan perkembangan dunia hari ini yang dilatari konsep liberalisasi
ekonomi, konsep dunia tanpa sempadan atau globalisasi dan sebagainya.
Seharusnya generasi muda dapat memahami konsep-konsep baharu dalam
perkembangan dunia terkini secara tersurat dan tersirat. Justeru, generasi muda hari
ini perlu melengkapkan diri dengan pelbagai cabang ilmu dalam arus menerokai
dunia globalisasi itu. Pada masa yang sama, mereka juga perlu mempunyai
semangat daya saing serta daya ketahanan yang tinggi terhadap segala cabaran.
Generasi muda seharusnya mampu mengelakkan negara dan bangsa tercinta
daripada terjajah dalam konteks penjajahan bentuk baharu seperti penjajahan minda
dan penjajahan ekonomi.Tegasnya, generasi muda amatlah diharapkan oleh
pemimpin dan masyarakat supaya menjadi modal insan yang benar-benar
cemerlang. Oleh itu, etos, sikap, pemikiran dan tingkah laku yang murni dan baik
hendaklah dijadikan ciri-ciri penting yang perlu dimiliki oleh generasi muda kini bagi
memastikan kemerdekaan Malaysia terus terjamin kekal dan utuh di persada dunia.


(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Perutusan SPBY Dipertuan Agong,
sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-50,
Kementerian Pelajaran Malaysia, Ogos 2013).
Free download pdf