KOLEKSI ARTIKEL PENYELIDIKAN BM 2022

(faizkhaldun) #1
PENGENALAN

Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara kita Malaysia
seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (Malaysia)
di bawah perkara 152 (1) mengikut peruntukan undang-undang oleh Parlimen.
Termeterainya Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi,
membolehkan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik serta berbeza
budaya, agama, bahasa cuba disatukan melalui satu bahasa iaitu Bahasa Melayu
(Talinah dan Norazlina, 2010). Oleh itu, bersesuaian dengan kedudukan Bahasa
Melayu sebagai bahasa pengantar pada semua peringkat persekolahan, maka semua
murid hendaklah menguasai bahasa ini dengan cara meningkatkan penguasaan
kemahiran mendengar dan bertutur, membaca dan menulis seperti yang digariskan
dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu dalam Dokumen Standard Kurikulum
Pentaksiran (DSKP) Bahasa Melayu. Hal ini demikian untuk membolehkan murid
menguasai kecekapan berbahasa dan berkomunikasi dalam Bahasa Melayu sesuai
dengan fungsinya sebagai bahasa perpaduan rakyat, bahasa perhubungan utama,
bahasa ilmu pengetahuan dan bahasa pencerminanan akal budi rakyat (Kamarudin,
1994).
Namun begitu, walaupun Bahasa Melayu ini telah lama digunakan sebagai
bahasa pengantar dalam pendidikan di Malaysia, murid-murid masih tidak dapat
menguasai kemahiran-kemahiran Bahasa Melayu dengan baik. Menurut Nor
Hashimah, Junaini dan Mustaffa (2013), penguasaan Bahasa Melayu, sama ada
dalam peperiksaan atau komunikasi sosial, memperlihatkan banyak kelemahan dan
kecelaruan, walaupun negara telah lama mencapai kemerdekaan dan Bahasa Melayu
telah lama dinobatkan sebagai bahasa rasmi. Menyedari hakikat bahawa tahap
penguasaan Bahasa Melayu terutamanya dalam aspek pembinaan ayat ini masih
berterusan, maka kajian ini dilakukan dengan memberikan fokus kepada kemahiran
membina ayat dalam kalangan murid Tahun 5.


FOKUS KAJIAN

Mata pelajaran Bahasa Melayu merupakan salah satu mata pelajaran wajib dan syarat
lulus bagi peperiksaan awam di Malaysia seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah
(UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Namun begitu, didapati bahawa masih
terdapat kelemahan dalam kalangan murid, terutamanya berkaitan dengan aspek
tatabahasa itu sendiri. Kelemahan murid dalam menguasai kemahiran dalam Bahasa
Melayu telah mendorong banyak pengkaji untuk melakukan kajian yang lebih terperinci,

Free download pdf