MENINGKATKAN KEMAHIRAN MEMBACA MURID TAHUN 3 MENGGUNAKAN ABM
IKUT RENTAKKKU BERSERTA CLASS DOJO
KHAIRIL ASYRAF BIN JAMAT
PISMP BAHASA MELAYU SK- 2 IPG KAMPUS KENT,SABAH
EMEL: [email protected]
ABSTRAK
PdPR bukan lagi satu perkara baharu dalam situasi semasa dan telah wujud
disebabkan oleh pandemik Covid-19. Pandemik Covid- 19 telah menyebabkan
pelbagai implikasi dan mengubah keadaan semasa khususnya sistem pendidikan di
dalam negara kita. Melihat kembali kepada pengalaman pengkaji ketika menjalani
praktikum fasa satu mendapati bahawa pelaksanaan PdPR secara menyeluruh
telah mempengaruhi penglibatan murid secara mendadak. Masalah keterlibatan
murid semasa kelas PdPR ini setelah diteliti oleh pengkaji berpunca daripada tahap
penguasaan membaca murid yang lemah. Kelemahan dalam kemahiran membaca
memberikan kesan kepada pencapaian murid dalam semua mata pelajaran di
sekolah. Oleh itu, kajian tindakan ini memberikan fokus kepada masalah membaca
murid ketika sesi PdPR bahasa Melayu. Kajian ini bertujuan untuk menunjukkan
keberkesanan ABM Ikut Rentakku berserta peneguhan positif berbentuk ganjaran
menggunakan Class Dojo dalam meningkatkan kemahiran membaca murid ketika
sesi PdPR bahasa Melayu. Model penyelidikan Kemmis & McTaggart (1988) telah
digunakan dalam melaksanakan kajian ini. Peserta kajian melibatkan tiga orang
murid tahun tiga di sebuah sekolah rendah di daerah Kuching, Sarawak. Pengkaji
telah menggunakan kaedah kualitatif dan kuantitatif dalam mengukur peningkatan
pembacaan dan penglibatan murid. Dapatan kajian menunjukkan kesan yang baik
apabila terdapatnya peningkatan dalam pembacaan dan penglibatan murid ketika
sesi PdPR bahasa Melayu. Justeru, penggunaan ABM Ikut Rentakku berserta
peneguhan positif ini boleh diperluaskan untuk membantu meningkatkan kemahiran
membaca murid bagi subjek bahasa Melayu ketika sesi PdPR.
Kata kunci: PdPR, kemahiran membaca, peneguhan positif, ABM Ikut Rentakku,
Class Dojo