PENGENALAN
Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR) bukan lagi satu perkara baharu
dalam situasi semasa dan telah wujud disebabkan oleh pandemik Covid-19. Pandemik Covid-
19 telah menyebabkan pelbagai implikasi dan mengubah keadaan semasa khususnya sistem
pendidikan di dalam negara kita (Mahad, Ugartini & Hamzah, 2021). Oleh itu, para guru perlu
mempelbagaikan strategi pengajaran yang digunakan. Guru-guru yang mempelbagaikan
strategi pengajaran dapat membantu murid-muridnya menguasai pelbagai ilmu bahasa
dengan cepat dan berkesan (Oxford & Crookall 1989). Penggunaan strategi pembelajaran
yang bersesuaian dengan murid akan membantu murid menguasai kemahiran membaca.
Membaca merupakan salah satu sumber pengetahuan dan asas pembentukan diri ke
arah memperoleh ilmu pengetahuan. Tujuan membaca bagi memahami teks yang dibaca dan
kandungan teks memberi makna kepada pembaca (Yahya 2005). Keupayaan membaca
merupakan suatu kemahiran yang amat bernilai dan merupakan proses yang dinamik, iaitu
memerlukan komunikasi yang aktif dan bermakna antara pembaca dengan penulis. Membaca
juga dikatakan sebagai keupayaan seseorang mengecam bentuk visual dan menghubungkan
antara bentuk dengan bunyi dan melalui pengalaman serta berupaya mentafsirkan
maksudnya. Pemahaman bacaan bergantung pada gabungan dari segi pengetahuan bahasa,
gaya kognitif, dan pengalaman membaca (Abdul Rasid, 2011).
Melihat kembali kepada pengalaman pengkaji ketika menjalani praktikum fasa 1
mendapati bahawa pelaksanaan PdPR secara menyeluruh telah mempengaruhi penglibatan
murid secara mendadak. Masalah keterlibatan murid semasa kelas PdPR ini setelah diteliti
oleh pengkaji berpunca daripada tahap penguasaan pembacaan murid yang lemah. Menurut
Roslan Chin dan Nurahimah Yusoff (2017) dalam penulisan mereka menyatakan bahawa
kemahiran membaca merentas semua mata pelajaran. Kelemahan dalam kemahiran
membaca memberi kesan kepada pencapaian rendah dalam semua mata pelajaran di
sekolah. Jadual 1 dan 2 menunjukkan bacaan murid yang lemah yang telah dianalisis
menggunakan simbol fonetik dan empat tingkat intonasi.