KOLEKSI ARTIKEL PENYELIDIKAN BM 2022

(faizkhaldun) #1

  1. Pada tahap ini, murid dikehendaki untuk membaca ayat yang diberikan mengikut rentak
    yang telah disediakan. Pada langkah ini juga, murid dikehendaki untuk menggunakan intonasi
    bacaan yang betul. Setelah menguasai tahap 2, murid akan dibawa ke tahap 3. Pada tahap
    ini, setiap suku kata tidak lagi diwarnakan. Perkara ini dilakukan untuk membiasakan murid
    membaca teks yang tidak diasingkan suku katanya menggunakan warna.


Semasa tindakan menggunakan ABM Ikut Rentakku dilaksanakan, pengkaji akan
menggunakan Class Dojo untuk meningkatkan motivasi murid dan menggalakkan penglibatan
murid. Class Dojo ialah sistem pengurusan tingkah laku dalam talian yang bertujuan untuk
memupuk tingkah laku pelajar dan budaya bilik darjah yang positif. Murid memperoleh Dojo
Point berdasarkan tingkah laku bilik darjah mereka. Murid akan diberikan pemarkahan
berdasarkan penglibatan mereka sepanjang PdPR berlangsung. Perkara ini dilakukan untuk
meningkatkan motivasi dan penglibatan murid semasa belajar di samping mewujudkan
persaingan yang positif di antara mereka. Hal ini akan mendorong kepada kewujudan suasana
pembelajaran yang kondusif.


Kajian ini merupakan sebuah kajian yang menggunakan kaedah pengumpulan data
secara kualitatif. Menurut Kamarul Azmi Jasmi (2012), penyelidikan kualitatif mempunyai
bentuk data yang tersendiri dan data kualitatif biasanya akan didapati di dalam bentuk temu
bual, pemerhatian, dan soal selidik. Oleh itu, kaedah kualitatif iaitu dengan menggunakan
pemerhatian telah dipilih. Pengkaji menggunakan kaedah pemerhatian secara terus dalam
menilai peningkatan murid membaca. Untuk itu, pengkaji telah menyediakan sebuah senarai
semak yang dibina sendiri oleh pengkaji berpandukan Objektif Standard Kurikulum Bahasa
Melayu Tahun 3 yang disediakan oleh KPM iaitu murid boleh membaca petikan dengan
sebutan yang betul dan intonasi yang sesuai serta memahaminya.


Pemerhatian ini akan dilakukan sepanjang berlangsungnya sesi PdPR untuk aktiviti
membaca. Pengkaji akan mengarahkan murid untuk melakukan pra dan pasca bacaan
dengan menggunakan ABM Ikut Rentakku dan dapatan daripada pembacaan tersebut akan
dianalisis. Pengkaji juga menggunakan Class Dojo untuk menggalakkan penglibatan dan
meningkatkan minat murid untuk membaca.


Setelah data dikumpulkan, kaedah kualitatif akan digunakan untuk menganalisis
dapatan data yang diperoleh. Maklumat yang diperoleh daripada dapatan itu pula akan
disemak menggunakan triangulasi. Triangulasi ialah kombinasi beragam sumber data, tenaga
pengkaji, teori dan teknik metodologi dalam suatu pengkajian atas gejala sosial (Kamarul Azmi
Jasmi, 2012). Kaedah triangulasi boleh meningkatkan kredibiliti penemuan dan saranan yang
dihasilkan dalam sesuatu penyelidikan (Lincoln, 1995; Stake, 1995). Dalam kajian ini,
triangulasi data dan triangulasi dalam kaedah telah dipilih untuk digunakan.

Free download pdf