Dapatan daripada pemerhatian ini telah berjaya membuktikan bahawa terdapatnya
peningkatan pembacaan yang dilakukan oleh murid. Hasil dapatan ini telah menunjukkan
bahawa persoalan kajian yang pertama telah dijawab di mana ABM Ikut Rentakku yang
disertakan dengan peneguhan positif menggunakan Class Dojo dapat membantu dalam
meningkatkan pembacaan yang dilakukan oleh murid.
REFLEKSI
Setelah melaksanakan kajian serta membuktikan keberkesanan ABM Ikut Rentakku
berserta peneguhan positif berbentuk ganjaran menggunakan Class Dojo, pengkaji
mendapati bahawa terdapat peningkatan dalam penguasaan pembacaan murid. Respons
yang diterima daripada peserta kajian juga berbentuk positif di mana rata-rata daripada
mereka memberikan maklum balas yang baik selepas menggunakan templat yang dihasilkan
oleh pengkaji. Hal ini kerana, ABM Ikut Rentakku berserta Class Dojo ini dihasilkan untuk
memenuhi kehendak dan minat murid semasa PdPR. Penggunaan perisian dan templat
multimedia ini akan dapat mendorong ke arah sesi PdPR yang lebih aktif dan kondusif. Abdul
Rasid Jamian (2011) menyatakan bahawa dalam era multimedia ini adalah lebih penting bagi
para guru untuk melihat kepada cara-cara penggunaan multimedia. Hal ini bukan sahaja
memberi pengetahuan yang lebih kepada guru tetapi juga membantu menggerakkan minda
murid-murid. Keadaan ini akan mencetuskan idea baharu yang akan memberi pengetahuan
baharu kepada mereka.
CADANGAN TINDAKAN SUSULAN
Kajian ini juga telah berjaya membuktikan bahawa penggunaan ABM Ikut Rentakku
berserta Class Dojo membantu dalam meningkatkan kemahiran membaca murid. Namun
demikian, pembuktian ini tidak bermaksud bahawa ini merupakan penyelesaian yang konkrit.
Oleh sebab itu, tindakan yang digunakan dalam kajian ini hendaklah digunakan pada
persekitaran sekolah dan latar belakang murid yang berbeza dan diintegrasikan dengan
kegunaan TMK yang lagi baik. Perkara ini akan dapat membantu dalam mengembangkan lagi
kebolehgunaan dan kebolehtadbiran ABM ini. Kesimpulannya, diharapkan guru-guru sekolah
akan rendah mempelbagaikan bahan pengajaran terutama sekali sewaktu PdPR agar
kemahiran-kemahiran asas murid-murid seperti membaca, menulis dan mendengar dan
bertutur dapat ditingkatkan dengan baik.