PENGENALAN
Kini, menerusi sukatan pelajaran Bahasa Melayu, murid dilatih dengan pelbagai jenis
penulisan dan genrenya. Sehubungan itu, berdasarkan pengalaman mengajar di sekolah
praktikum yang lalu selama 12 minggu, penyelidik mendapati bahawa kebanyakan isu
yang wujud dalam proses PdP Bahasa Melayu pada peringkat sekolah rendah adalah
masalah dalam penulisan karangan. Makanya, penyelidik telah melakukan tinjauan awal
terhadap murid Tahun Lima. Menerusi tinjauan awal tersebut, penyelidik melihat terdapat
beberapa isu pembelajaran Bahasa Melayu yang wujud. Antaranya, ramai murid Tahun
Lima mengalami masalah pembelajaran dalam menghasilkan karangan yang kohesi dan
koheren.
Aspek kohesi dan koheren dapat diwujudkan dengan penggunaan penanda
wacana. Hal ini kerana, penanda wacana merupakan kata perangkai yang mewujudkan
pertautan dan kesinambungan antara sebahagian teks dengan yang lain sehingga
terbentuknya teks yang kohesi dan koheren serta bermakna. Di samping itu, berdasarkan
kajian lalu, jelas terbukti bahawa penggunaan penanda wacana yang merupakan kata
atau frasa perangkai membolehkan ayat-ayat dalam perenggan disusun dengan baik
sehingga urutan maklumat atau gagasan menjadi lancar dan tidak melompat-lompat.
Dalam konteks kemahiran menulis, murid perlu menggunakan penanda wacana
untuk memulakan ayat bagi setiap perenggan untuk menghasilkan penulisan karangan
yang kohesi dan koheren. Misalnya, karangan fakta dalam kertas Penulisan Bahasa
Melayu pada bahagian C. Permasalahan timbul dalam kalangan murid Tahun Lima
apabila masih terdapat beberapa murid yang tidak mampu dan tidak mahir menggunakan
penanda wacana dalam penulisan karangan jenis fakta. Justifikasi bagi mengatasi
masalah ini, penyelidik akan mencadangkan untuk menggunakan satu intervensi yang
telah penyelidik ubahsuai dan olah mengikut kesesuaian sebagai tindakan untuk
mengatasi masalah tajuk penyelidikan ini iaitu Turutan PADDAK, yang idea asalnya
adalah teknik ASDSA oleh Rosman Muhamad Amin pada tahun 2016.