REFLEKSI
Kajian ini dijalankan bersesuaian dengan pendapat yang dinyatakan oleh Chahaya (2020)
bahawa penutupan sekolah di Malaysia memberikan impak negatif yang sangat besar
terutamanya yang berkaitan dengan kebahasaan dalam pendidikan. Hal ini menyokong
tindakan pengkaji yang memperkenalkan teknik GeraVisio yang merangkumi elemen gerakan,
visual dan juga audio dalam sesi PdPR bagi menyelesaikan masalah pendidikan yang berkaitan
dengan bahasa misalnya cara membina ayat tunggal yang gramatis melalui pelantar Google
Meet. Sri Ayu (2021) juga menyatakan bahawa sesi PdPR yang dijalankan kelihatan hambar
sekiranya guru tidak mengaplikasikan teknik yang bersesuaian dengan topik yang diajar. Maka
pengkaji membina intervensi yang dinamakan sebagai teknik GeraVisio. Terdapat seorang
murid telah menunjukkan peningkatan peratus pencapaian ujian pasca berbanding ujian pra
sebanyak 100% manakala dua orang murid lagi menunjukkan peningkatan peratus sebanyak
83% dalam ujian pasca. Kajian ini merungkai bahawa guru yang profesional perlu sentiasa
peka dan menambahbaik amalan pengajarannya di dalam bilik darjah walaupun sesi PdP telah
dirubah menjadi PdPR di kala pandemik Covid-19 yang melanda negara.
CADANGAN TINDAKAN SUSULAN
Pengkaji mendapati bahawa teknik GeraVisio ini sebenarnya mampu dijadikan sebagai salah
satu daripada teknik yang boleh diperluas sehingga ke penggunaan subjek lain khususnya
semasa PdPR. Bukan itu sahaja, pengkaji mendapati bahawa teknik GeraVisio ini sebenarnya
boleh dilaksanakan di sekolah-sekolah sewaktu PdP yang biasa kerana teknik ini mampu
menarik minat murid untuk meneruskan pembelajaran. Hal ini bertepatan dengan pendapat
Rizal Farista e tal (2018), penggunaan gerakan, visual dan juga audio yang bersesuaian
mampu menyampaikan maklumat dengan lebih berkesan lagi-lagi sewaktu sesi pembelajaran.
Konklusinya, pengkaji berharap agar kajian ini dapat dijadikan panduan, idea dan juga
transformasi yang padu kepada guru-guru sekolah, khususnya guru bahasa Melayu untuk
memperbaiki amalan pengajaran dan pembelajaran, terutamanya yang berkaitan dengan
kemahiran menulis ayat tunggal yang gramatis semasa sesi PdPR. Harapan yang sangat
menggunung agar kajian ini dijadikan sebagai sumber rujukan kepada mana-mana kajian lain
yang akan dijalankan pada masa yang akan datang.