Aspek kepentingan dalam fokus kajian ini adalah untuk meningkatkan penggunaan
huruf besar dalam ayat pada permulaan ayat, pangkal kata nama khas dan tanda noktah
pada akhir ayat dengan menggunakan bahan bantu mengajar (BBM). Pengkaji memilih
bahan-bahan yang bersesuaian dengan fungsinya untuk membantu menyelesaikan
masalah ini agar hasil penulisan murid menjadi lebih baik. Tambahan lagi, menurut Jamian,
Abdul Rasid, dan Hasmah Ismail (2016), penggunaan bahan bantu mengajar yang menarik
akan mewujudkan suasana pembelajaran yang menggembirakan. Berdasarkan kelebihan
BBM Pembaris HbKnkN ini, pengkaji berpendapat bahawa penggunaannya akan dapat
meningkatkan tahap penguasaan murid dalam penulisan dengan lebih berkesan.
Aspek kebolehgunaan bagi kajian ini amat dititiberatkan kerana kualiti kajian turut
bergantung kepada aspek ini. Oleh hal demikian, pengkaji memasukkan beberapa elemen
yang penting iaitu dengan menggunakan bahan maujud bagi mengatasi masalah
penggunaan huruf besar dalam ayat dan tanda noktah. Penggunaan bahan maujud ini
menitikberatkan pemilihan elemen warna dan visual yang sesuai dan berkesan bagi
membantu masalah PK.
OBJEKTIF DAN SOALAN KAJIAN
Objektif kajian adalah seperti yang berikut;
i. Meningkatkan penggunaan huruf besar dalam ayat pada permulaan ayat, pangkal
kata nama khas dan tanda noktah menggunakan pembaris HbKnkN terhadap PK
Soalan kajian adalah seperti yang berikut;
i. Adakah Pembaris HbKnkN dapat membantu PK meningkatkan penggunaan huruf
besar dalam ayat pada permulaan ayat, pangkal kata nama khas dan tanda noktah?
PESERTA KAJIAN
Dalam penyelidikan tindakan ini, PK merupakan murid perempuan yang berbangsa
Kadazan. PK seorang murid yang kurang bercakap di dalam kelas namun aktif apabila
diiminta untuk melibatkan diri dalam pengajaran dan pemudahcaraan (PdPC). Selain itu, PK
dikategorikan pada tahap sederhana dalam aspek akademik. Dalam kemahiran membaca
dan menulis, PK boleh membaca dengan lancar dan boleh membina dan menulis ayat
tunggal dan ayat majmuk dengan baik. Walau bagaimanapun, PK dikenal pasti mempunyai
masalah utama berkaitan penggunaan huruf kecil pada permulaan ayat, pangkal kata nama
khas dan tidak menggunakan tanda noktah pada akhir ayat. Jelasnya, PK dilihat agak cuai
dalam mengaplikasikan ketiga-tiga aspek ini dalam penulisannya.