PESERTA KAJIAN
Peserta kajian yang dipilih adalah murid daripada Sekolah Kebangsaan X di
daerah Tuaran, Sabah. Pengkaji telah memilih empat orang murid tahun 2
dari kelas 2 Gemilang. Peserta kajian juga dipilih mempuyai pelbagai tahap
prestasi akademik iaitu lemah dan sederhana. Pengkaji akan melaksanakan
kajian berkenaan Bahasa Melayu berdasarkan tajuk dipilih kepada peserta
kajian.
METODOLOGI KAJIAN
Kajian ini menggunakan dua instrumen untuk mengumpul data antaranya
melalui pemerhatian berstruktur dan ujian. Cara mengumpul maklumat
perlulah dipilih dengan teliti dan terbaik bagi mencapai sesuatu objektif yang
telah dinyatakan (Majid Konting, 2000). Pengkaji telah menggunakan
pemerhatian berstruktur iaitu pemerhatian yang dilaksanakan secara
bersemuka menggunakan borang senarai semak. Hasil pemerhatian dapat
dilihat ketika pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.
Aspek yang diperhatikan dikenal pasti terlebih dahulu. Pengkaji akan
memerhati, mendengar dan menanda pada senarai semak yang telah
disenaraikan. Pemerhatian ini berlangsung semasa proses tindakan
dilaksanakan kepada peserta kajian. Data yang diperolehi akan dianalisis dan
dibuat perbandingna bagi setiap item yang diperhatikan oleh pengkaji.
Seterusnya, pengkaji melaksanakan ujian pra dan ujian pasca
terhadap peserta kajian untuk melihat sejauh mana penguasaan mereka
dalam penguasaan menulis dengan penjarakan antara perkataan dalam ayat
Bahasa Melayu. Kedua-dua ujian tersebut mempunyai set soalan yang sama.
Ujian pra dilaksanakan untuk mengukur pencapaian murid tentang sesuatu
penguasaan sebelum tindakan dijalankan. Kemudian, ujian pasca pula akan
dijalankan terhadap peserta kajian bagi mendapatkan data tentang
perubahan pada aspek tulisan secara mekanis selepas penggunaan alat
PeJaMA. Ujian pasca ini bertujuan untuk menilai pencapaian peserta kajian
selepas melalui tindakan.