FOKUS KAJIAN
a. Isu Kajian
Kajian ini dijalankan selepas melihat beberapa orang murid Tahun 5 masih keliru
untuk membina ayat tunggal dengan betul. Apabila diminta untuk menulis ayat,
murid menjadi kaku dan tidak berjaya menulis ayat dengan betul.
Masalah penguasaan terhadap kemahiran membina ayat tunggal dilihat
berlaku semasa murid melaksanakan tugasan yang diberikan. Kemahiran menulis
ayat tunggal merupakan kemahiran asas yang perlu dikuasai terutamanya murid
tahap 1. Perkara ini untuk memastikan murid dapat menghasilkan penulisan yang
baik dan dapat mengembangkan ayat tunggal kepada ayat majmuk dengan mudah.
Pengajaran pada hari itu telah dilaksanakan dengan merujuk kepada DSKP
Bahasa Melayu Tahun 5 Semakan 2017 yang melibatkan murid perlu membina ayat
tunggal mengikut konteks dengan betul dan lengkap. Standard kandungan dan
standard pembelajaran yang digunakan adalah:
Jadual 1: Standard Kandungan dan standard pembelajaran
Standard Kandungan Standard Pembelajaran
5.3 Memahami dan membina ayat
mengikut konteks.
5.3.1 Memahami dan membina ayat
tunggal dengan peluasan subjek
dan predikat mengikut konteks.
b. Tinjauan Literatur
Menurut kajian Zahratulnadirah Ibrahim (2012), kemahiran berbahasa yang selalu
menjadi masalah untuk dikuasai murid-murid adalah aspek tatabahasa. Perkara ini
berlaku disebabkan oleh kebanyakkan murid kurang memahami konsep sesuatu
hukum bahasa itu sendiri. Ada diantara murid mudah lupa tentang apa yang diajar
guru disekolah. Perkara ini menyebabkan mereka tidak dapat aplikasi pembelajaran
tersebut dalam kehidupan seharian.
Menurut kajian Yahya Othman & Suxanawaty Pg Osman (2014), aspek
tatabahasa yang melibatkan penulisan merupakan keupayaan yang perlu dikuasai
murid sejak daripada peringkat rendah. Penguasaan penulisan ayat tunggal serta
ayat majmuk membantu seseorang murid untuk menghasilkan sebuah karya
penulisan yang baik dan bermutu. Secara tidak langsung penguasaan ini dapat
menjayakan pembelajaran berasaskan projek.