Dapatan Melalui Pemerhatian
Berdasarkan hasil dapatan pemerhatian sebelum proses intervensi dijalankan,
pengkaji mendapati bahawa dua orang peserta menghadapi masalah dalam
menggunakan huruf besar kerana tidak menggunakan huruf besar semasa
memulakan ayat. Manakala dua lagi peserta kajian yang lain hanya mengulangi
kesilapan penggunaan huruf besar beberapa kali dan tidak konsisten. Selain itu,
keempat-empat peserta kajian sememangnya boleh menulis huruf kecil dengan betul
dan tepat kerana semua peserta kajian telah mengenali huruf-huruf kecil yang
terdapat dalam Bahasa Melayu. Di samping itu, pengkaji juga sukar menjangka
kelemahan keempat-empat peserta kajian dalam penggunaan tanda noktah dan
menulis ayat tanpa bimbingan guru. Hal ini kerana, penguasaan murid dalam
menggunakan tanda noktah adalah tidak konsisten dan pengkaji melihat terdapat
peserta yang berbincang semasa melakukan aktiviti binaan ayat. Pengkaji kurang
pasti sama ada, peserta berbincang mengenai penggunaan huruf besar dan tanda
noktah atau berbincang kerana tidak tahu cara membina ayat tanpa bimbingin guru
atau rakan murid.
Berdasarkan hasil dapatan pemerhatian selepas intervensi, pengkaji mendapati
bahawa semua peserta kajian berjaya berada di tahap yang cemerlang bagi semua
aspek yang diingini. Walaubagaimanapun, kebanyakan daripada peserta kajian lebih
sering membina ayat tunggal berbanding ayat majmuk. Peserta memerlukan
bimbingan daripada guru untuk membina ayat majmuk bagi memastikan
penggunaan kata hubung sesuai dengan kehendak tugasan. Namun secara
keseluruhannya, keempat-empat peserta berjaya menguasai penggunaan huruf
besar pada permulaan ayat dan tanda noktah pada akhir ayat. Melalui pemerhatian
selepas intervensi, pengkaji juga mendapati penggunaan origami KeKuNa dan
latihan secara ansur maju sememangnya berkesan kerana berjaya merangsang
motivasi dan memudahkan peserta kajian untuk memahami serta menguasai
penggunaan huruf besar dan tanda noktah melalui warna dan simbol pada origami
KeKuNa.