Kajian ini dapat membantu pengkaji membuat penambahbaikan ke atas
amalan pedagogi dalam sesi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu.
Penyelidikan tindakan merupakan satu bentuk penyelidikan yang dilaksanakan
oleh guru, untuk guru dan tentang guru (Noriati, Boon dan Wong, 2010).
Pengkaji mengenal pasti bahawa murid-murid pada masa kini lebih berminat
dengan aktiviti-aktiviti yang mempunyai penerapan unsur Seni Dalam
Pendidikan kerana murid-murid pada peringkat umur ini mudah berasa bosan
dengan pembelajaran secara chalk and talk sahaja. Kenyataan ini disokong
oleh Shuell (1996), iaitu pengintergrasian seni visual dalam Bahasa Melayu
merupakan salah satu pengajaran konstruktivitis yang mempunyai ciri-ciri
seperti pengajaran pemusatan pelajar, pengalaman pembelajaran aktif, lebih
kepada interaksi pelajar dan guru, lebih bekerja dengan bahan konkrit dan
penyelesaian masalah realistik. Hal yang demikian dapat menarik minat dan
perhatian murid dalam pembelajaran murid Tahun 5.
Teknik ini bukan sahaja boleh digunakan dalam sesi pengajaran ayat bagi
murid Tahun 5, malah boleh juga digunakan kepada murid tahun lain. Pengkaji
dapat menggunakan teknik ini bagi membina ayat gramatis yang ditambah
dengan unsur peluasan subjek dan predikat dengan betul. Tambahan pula,
teknik ini menggunakan unsur warna yang dapat menarik minat murid dan
mudah untuk difahami murid dengan bimbingan pengkaji. Hal ini kerana
penggunaan warna terbukti dapat memainkan peranan penting dalam
merangsang emosi yang berlainan dan menarik perhatian murid (Chang, Xu
dan Watt, 2018).
Masalah tidak menguasai pembinaan ayat yang gramatis yang
dihadapi oleh murid perlu diambil tindakan kerana kemahiran ini merupakan
kemahiran yang sangat penting untuk dikuasai. Perkara ini kerana terdapat
bahagian membina ayat di dalam kertas peperiksaan murid tahap dua.
Tambahan pula, proses membina ayat ini akan dibawa ke peringkat sekolah
menengah dan institusi pendidikan. Oleh itu, penggunaan teknik PSP ini dapat
membantu murid untuk membina ayat yang gramatis dengan baik dari
peringkat awal.