Percutian Bersama Keluarga Saya, pengkaji meminta murid menggunakan kata
tanya bila dan di mana yang terdapat dalam Peta Minda DIKEBAS ABI.
Contoh soalan : Bilakah kamu bercuti bersama keluarga?
Contoh jawapan murid : Semasa cuti sekolah akhir tahun.
Contoh soalan : Di manakah kamu bercuti dengan keluarga kamu?
Contoh jawapan murid : Di Kundasang.
Langkah yang sama dilakukan ketika mencari isi-isi penting dalam perenggan
kedua sehinggalah penutup karangan. Apabila murid memberi jawapan dan respons
yang tepat, pengkaji akan memberi pujian atau tepukan kepada murid berkenaan.
Untuk langkah terakhir, pengkaji telah meminta murid membuat karangan
berpandukan rangka karangan yang dibincangkan tadi.
Sepanjang melaksanakan kajian ini, pengkaji telah menjalankan intervensi
secara tiga peringkat di mana peringkat pertama ialah guru bersama-sama dengan
murid berbincang isi karangan menggunakan intervensi ini. Peringkat kedua pula,
perbincangan dilakukan sesama murid tanpa bantuan guru dan seterusnya murid
menggunakan intervensi ini secara individu.
Setelah beberapa siri intervensi dijalankan, pengkaji telah mengadakan ujian
pada hari terakhir intervensi dijalankan. Tujuan ujian ini diadakan bagi mengkaji
keberkesanan kaedah yang digunakan ke atas murid dalam penulisan karangan
naratif.
Teknik Mengumpul Data
a) Ujian Pra dan Pasca
Ujian pra dan pasca adalah kertas soalan yang sama. Ujian pra dijalankan sebelum
proses intervensi Peta Minda DIKEBAS ABI digunakan. Hal ini kerana pengkaji ingin
mengetahui tahap pengetahuan sedia ada murid berkaitan tajuk yang telah diajar.
Manakala, ujian pasca pula diberi selepas intervensi Peta Minda DIKEBAS
diaplikasikan kepada kumpulan sasaran yang telah dipilih bagi melihat keberkesanan
kaedah yang digunakan dan mengukur pencapaian murid selepas rawatan.