Contoh 3: Kesan Rumah Hijau
Voo Lee Ha, Lisa Polus Masundang dan Cornellia Geoffrey
Tahun/ Tingkatan: Tingkatan 5
Standard kandungan (Sains)
3.2 Pencemaran alam sekitar
Standard pembelajaran (Sains)
3.2.1 Menerangkan jenis dan punca pencemaran alam sekitar
Amalan sains
Membangunkan dan menggunakan model, menganalisis dan menginterpretasi data, dan membina
penjelasan
Kemahiran abad ke-21/ nilai/ sikap saintifik
Bermaklumat, bersifat ingin tahu, mahir berkomunikasi, kerja sepasukan, penyayang, prihatin
Ringkasan aktiviti
Sains sering melibatkan pembangunan dan penggunaan model untuk membantu menjelaskan
tentang suatu fenomena semula jadi. Model adalah contoh simulasi keadaan sebenar. Model boleh
digunakan untuk mewakili objek atau keadaan sebenar. Dengan adanya model, murid boleh
membayangkan situasi sebenar dan seterusnya memahami konsep dan prinsip yang dipelajari
(Bahagian Pembangunan Kurikulum, 2019).
Pemanasan global adalah fenomena yang sedang melanda Bumi. Fenomena ini disebabkan oleh
Kesan Rumah Hijau. Saintis meramalkan perubahan ini akan menyebabkan perubahan iklim yang
melampau seperti kemarau, ribut tropika dan kenaikan suhu sehingga sesetengah kawasan Bumi
kurang sesuai untuk didiami. Tambahan lagi, litupan ais di kawasan kutub Bumi yang melebur
meningkatkan paras air laut dan akan menyebabkan kawasan-kawasan yang rendah tenggelam.
Apakah punca kesan rumah hijau dan apakah kaitannya dengan pemanasan global?
Dalam pembelajaran ini, murid akan membina model untuk mewakili kesan rumah hijau dan
menyiasat peranan gas rumah hijau dalam pemanasan global. Model ini akan dibina berdasarkan
bukti yang diperoleh daripada penyiasatan mereka. Mereka akan membina model, menganalisis
dan mengintepretasi paparan data (sebagai contoh, jadual, carta dan graf) untuk menyediakan
bukti. Pada akhir pembelajaran, murid-murid diharapkan dapat menggunakan model ini untuk
menjelaskan fenomena pemanasan global.
Alat dan bahan: Rujuk Lampiran ML3-2
Masa: 4 jam (Aktiviti boleh dibahagikan kepada dua masa kelas yang berbeza/ jadual anjal)