179
saintifik yang dipelajari dengan kehidupan seharian ini akan meningkatkan motivasi mereka
untuk terus belajar sains dan seterusnya membawa impak positif ke atas pembelajaran murid.
Untuk menyokong sepenuhnya pembelajaran sains murid-murid peribumi di kawasan
pedalaman ini, pendekatan PLBD yang melibatkan persekitaran pembelajaran yang kondusif
dan bermakna perlu dirancang secara khusus. Satu modul yang dikenali sebagai Modul
Kayeu (bermaksud ‘Tumbuhan’ dalam bahasa Penan) telah dibangunkan dengan berdasarkan
pembelajaran kontekstual PLBD. Pendekatan ini dirasakan sesuai untuk dilaksanakan semasa
sesi PdP topik ‘Tumbuhan’ terhadap murid-murid peribumi di kawasan pedalaman.
Mengapakah pendekatan Pembelajaran di Luar Bilik Darjah ini digunakan dalam PdP?
Dalam pendekatan ini, guru dikehendaki membawa murid-murid keluar dari bilik darjah dan
berada dekat dengan persekitaran hutan untuk proses PdP sains. Ini berupaya memberi murid
suatu perasaan yang lebih selesa dan dekat dengan alam sekitar. Pendekatan ini membawa
kelainan dan juga alternatif kepada proses PdP yang dilaksanakan secara konvensional
(berada dalam bilik darjah) di sekolah rendah. Ia dipercayai dapat menjadikan proses
pembelajaran lebih menarik dan berkesan. Persekitaran dijadikan sebagai lokasi pembelajaran
di samping bahan pengajaran yang dikenali oleh murid dan senang diperoleh dari sekitar
digunakan. Ini dapat menyedarkan murid-murid pedalaman tentang wujudnya hubungan dan
kerelevanan pendidikan sains yang dipelajari dengan kehidupan seharian.
Dalam modul Kayeu yang berpandukan pendekatan ini, aktiviti-aktiviti yang direka khas dan
dilaksanakan memberi peluang kepada murid-murid peribumi untuk melibatkan diri secara
aktif melalui aktiviti hands-on dan juga intelektual yang akan membawa kepada
pembelajaran yang efektif dan memberi kesan yang bermakna. Di samping itu, kemahiran
kolaborasi dan kemahiran komunikasi antara ahli kumpulan juga dapat dipupuk dan
ditingkatkan.
Diharap dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperoleh oleh murid-murid pedalaman
melalui pendidikan sains, mereka berupaya memahami dan menjelaskan fenomena-fenomena
yang berlaku di sekeliling mereka secara saintifik dan bukan lagi berasaskan pengalaman dan
kepercayaan yang diturunkan daripada generasi lepas. Murid-murid peribumi ini juga tidak
boleh ketinggalan dalam memperoleh pengetahuan dan kemahiran saintifik serta kemahiran
abad ke-21 dalam pendidikan sains agar boleh bersama-sama menyumbangkan kepada
pembangunan dan pembentukan negara yang maju dan moden. Mereka perlu mengadaptasi
dan menyesuaikan kehidupan asal mereka yang dikelilingi oleh alam sekitar atau hutan
kepada kehidupan dalam abad ke-21 yang penuh dengan cabaran dan perkara yang baharu
bagi mereka.
Pelaksanaan Modul Kayeu
Model pengajaran yang digunakan ialah Model Konstruktivisme Lima Fasa Needham (1987).
Berikut disertakan contoh turutan persembahan maklumat semasa proses PdP mengikut Teori
Konstruktivisme Lima Fasa Needham (1987) yang melibatkan fasa-fasa seperti orientasi,
pencetusan idea, penstrukturan semula idea, aplikasi idea dan refleksi.