Laporan pentaksiran sumatif merupakan sebahagian daripada laporan yang disampaikan kepada
ibu bapa dan guru lain.
Semua maklumat yang dikumpulkan oleh guru untuk tujuan formatif, juga boleh digunakan untuk
tujuan sumatif. Oleh itu, perbezaan utama antara penilaian formatif dan sumatif bukan pada
maklumat yang dikumpulkan, atau bagaimana ia dikumpulkan, tetapi bergantung kepada
bagaimana maklumat tersebut digunakan. Secara ringkasnya, penilaian formatif digunakan untuk
memberikan maklum balas segera dalam PdP, sementara penilaian sumatif digunakan untuk
memberi maklumat kepada pihak lain mengenai kemajuan murid (Harlen, 2013).
Pelaksanaan pentaksiran dapat dipermudahkan dengan mengaplikasikan alat pentaksiran seperti
rubrik penilaian. Rubrik adalah alat pembelajaran dan penilaian yang memperincikan tugasan dan
memperihalkan prestasi (Andrade, 2000). Stevens dan Levi (2012) telah menyenaraikan beberapa
manfaat rubrik kepada murid dan guru, iaitu:
(a) Manfaat rubrik kepada murid:
Menjelaskan matlamat pembelajaran: Rubrik menyatakan dengan jelas dan
menerangkan dengan terperinci kriteria penilaian prestasi.
Meningkatkan pembelajaran: Murid dapat mengetahui fokus pembelajaran dan
membuat penilaian kendiri dengan merujuk kepada rubrik.
(b) Manfaat rubrik kepada guru:
Jimat masa: Rubrik membantu guru mengurangkan ketidakpastian
Lebih konsisten dalam penentuan gred
Kurangkan bias: Rubrik membantu menjadikan penilaian lebih telus dan adil
Memberi justifikasi kepada penetapan gred
Dalam slot ini kita akan meninjau kembali apakah kepentingan pentaksiran kepada guru dan murid?
Bagaimanakah pentaksiran dalam IBSE untuk tujuan formatif serta sumatif dilaksanakan? Apakah
yang akan dinilai dan bagaimanakah ia dinilai? Apakah amalan pentaksiran dalam IBSE yang baik?
Ringkasan aktiviti
Dalam aktiviti ini, peserta akan menyenaraikan soalan tentang pentaksiran dalam IBSE yang ingin
diketahui (I want to know questions, IWTK) dan mencari jawapan untuk menjawab soalan-soalan
itu dengan merujuk kepada pelbagai sumber maklumat seperti bahan cetak yang diedarkan, buku-
buku panduan dan bahan-bahan rujukan dalam talian. Peserta juga akan mengkaji dan merumuskan
amalan pentaksiran dalam IBSE yang diamalkan oleh seseorang guru dengan merujuk kepada
bahan-bahan edaran tersebut. Peserta diperkenalkan dengan aplikasi pembinaan rubrik, contohnya
Rubistar kemudian peserta membina satu rubrik bagi mentaksir aktiviti inkuiri dalam kumpulan.
154