PEPATUNG
Pepatung mempunyai mata yang besar di mana penglihatannya
mencakupi 360 darjah. Abdomennya adalah panjang dan ia mempunyai
dua pasang sayap. Sayapnya adalah lutsinar di mana sayap hadapan
adalah lebih panjang daripada sayap belakang. Pepatung juga memiliki
tiga pasang kaki seperti serangga lain. Namun, kakinya digunakan untuk
tujuan cengkaman atau menangkap mangsa. Ia merupakan pemangsa
yang makan nyamuk, lalat, semut dan kupu-kupu. Pepatung merupakan
salah satu serangga terbang yang terpantas di dunia. Apabila mereka
mendarat dan berehat, sayapnya terbuka dan terentang ( flat wing ). Bagi
serangga ini, ia lebih suka berehat di atas ranting, permukaan pokok dan
daun. Lebih menarik lagi, mereka akan mengangkat abdomen ke atas bagi
tujuan menyejukkan badan mereka apabila berehat. Biasanya, pepatung
dapat dilihat di sekitar kawasan kolam, sungai dan lopak air. Namun, ia
juga bergantung dengan keadaan cuaca kerana ia lebih tertarik dengan
waktu terang pada siang hari. Waktu aktif bagi serangga ini ialah waktu
pagi tetapi terdapat juga spesies pepatung yang hanya aktif pada waktu
petang seperti Tholymis tillarga.
Pepatung Merah-Biru,
Orthetrum pruinosum.