PERNYATAAN PROFESIONAL
Tanpa disangka 10 minggu telah berlalu sejak kami mula berpindah ke Kota Belud
dan berpraktikum di SK Pekan Kota Belud. Sejujurnya, tidak terhitungkan betapa
banyak ilmu dan pengalaman yang saya raih sepanjang mengajar di SK Pekan
Kota Belud atau biasa dipanggil dengan singkatan SKEP ini. Memang benar
bahawa saya mengajar mereka, tetapi sebenarnya merekalah yang banyak
mengajar saya. Dari segala kesilapan dan kelalaian yang pernah saya buat
sepanjang mengajar mereka, saya belajar untuk menjadi seorang guru yang
lebih teliti dan bertanggungjawab.
Apabila saya merefleksi perkembangan diri saya sebagai seorang pendidik,
saya melihat peningkatan yang sangat banyak seperti saya sudah tidak
gementar lagi semasa mengajar murid di hadapan kelas, saya boleh
menggunakan papan putih dengan sistematik, serta saya boleh menggunakan
intonasi suara dan riak wajah yang pelbagai untuk menarik perhatian murid.
Tambahan pula, saya juga tidak menyangka bahawa saya telah menghasilkan
banyak BBM yang berupaya membantu sesi pengajaran saya. Selain itu,
perubahan besar yang dapat saya lihat dalam diri saya ialah jiwa pendidik
dalam diri saya semakin membuak-buak. Hal ini kerana saya bukan hanya ingin
mengajar dan menghabiskan silibus, tetapi saya mahu semua murid saya tidak
kira yang bijak atau yang lemah, boleh memahami intipati pelajaran dan
sekurang-kurangnya belajar sesuatu daripada saya. Saya tidak ingin mereka
datang ke sekolah tanpa tujuan yang jelas dan hanya untuk bermain. Seelok-
eloknya usaha ibu bapa mereka menghantar mereka ke sekolah tidak sia-sia jika
mereka pulang bersama ilmu yang baharu.
Akhir sekali, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memanjatkan rasa
syukur dan berterima kasih kepada semua orang yang membantu saya
sepanjang Praktikum Fasa 1 ini. Bermula dengan pensyarah penyelia, guru
pembimbing, guru-guru yang lain, rakan praktikum, ibu bapa saya dan tentulah
anak-anak murid saya yang pertama dan sangat istimewa di hati saya. Terima
kasih kepada mereka kerana mengajar saya cara untuk menjadi seorang guru
yang baik. Saya sentiasa mendoakan mereka supaya membesar menjadi anak-
anak yang soleh-solehah dan cemerlang dunia akhirat. Akhir kata, terima kasih
warga SKEP Hebat!
32