Sudahlah permintaan terhadap gambus buatannnya semakin banyak, dia pula
tiada pembantu. Sesekali Haji Rafi ada membantunya. Tapi apalah yang boleh
dibantu sangat oleh mertuanya yang selalu sakit-sakit itu.
MALAM itu langit amat gelap. Sebutir bintang pun tiada kelihatan. Setia memetik
gambusnya di pangkin di tepi tangga. Lagu irama ghazal Hati Ku Di Hati Mu
beralun sayu. Sesekali Setia menyanyi mengiringi petikan gambusnya. Hajah
Asadah mendengar sambil menggoyang-goyang kepala dengan asyiknya. Haji
Rafi yang sedang enak dipicit-picit oleh isterinya, sudah tersenyum-senyum.
“Tidak sangka Setia pandai memetik gambus. Suara nyanyiannya pun merdu.
Mengapa dia tidak pernah bergambus selama ini?” Mak Mong meluahkan
persoalannya.
“Menantu kita itu pendiam dan pemalu. Kerjanya pun tekun, tidak suka
bermain. Entahlah emaknya... kenapa sekarang baru dia memetik gambus...”
jawab Haji Rafi sambil terpejam-pejam mata menghayati petikan gambus Setia.
“Alah. Dia sengaja mahu belawan dengan Yajid tu mak. Dia mahu tunjuk juga
dia pandai bergambus. Dia mesti ingat, dia tak akan mengalahkan kebagusan
Yajid memetik gambus!” Tiba-tiba Dayang menyampuk kasar.
“Astaghfirullahalazim... Kau ni kenapa, Dayang. Kau itu sudah bersuami.
Kenapa disebut dan dipuji-puji lelaki lain. Berdosa, tahu?” marah Hajah Asadah.
Belum sempat Haji Rafi ikut menyambung kemarahan isterinya, suara Setia terun
mengalun membelah malam...
“Sedap betul suara menantu kita.” Hajah Asadah menghayati irama gambus
yang membuai rasa itu.
“Hanya hati yang lembut saja dapat menikmatinya. Perasaan yang halus dan
tajam... Itulah makna bunyian gambus.” Haji Rafi menokok. Tiba-tiba sunyi sepi.
Tiada bunyi gambus beralun. Haji Rafi dan isterinya berpandangan.
“Kenapa, Setia?” Mereka serentak bertanya apabila melihat Setia sudah
berdiri di muka pintu sambil memegang gambus. “Tali gambus putus...” Tenang
saja Setia menjawab. Haji Rafi bingkas bangun mengambil peti alatan
gambusnya. “Biar bapa yang pasangkan tali...” Haji Rafi terus berusaha
membaiki tali gambus yang putus itu.