PENGENALAN
Era globalisasi kini telah banyak merubah landskap pembelajaran murid (Siti Rahayah Ariffin,
2003). Melalui perspektif pendidikan pada era pandemik Covid-19 kini, kualiti pendidikan amat
difokuskan dalam mendepani pendidikan alaf baharu yang penuh dengan cabaran siber yang
terdapat di dalam ledakan perubahan pendidikan. Pengkaji menjalankan kajian mengenai
pengaplikasian teknik GeraVisio dalam menghasilkan Video Animasi Pendidikan (BBB
VidAniPen) bagi membantu murid tahun empat menguasai kemahiran menulis ayat tunggal
yang gramatis semasa PdPR berlangsung. Pengkaji berharap agar kajian ini mampu
menyedarkan para pendidik bahawa teknik GeraVisio mampu meningkatkan penguasaan
murid dalam menulis ayat tunggal semasa PdPR. Pengumpulan data awal menunjukkan
bahawa kebiasaannya sesi PdPR yang dijalankan hanya terbatas melalui pelantar Telegram
sahaja sehingga menimbulkan rasa bosan kepada murid untuk menulis ayat tunggal yang betul
secara dalam talian.
FOKUS KAJIAN
Perkara yang menjadi fokus kajian iaitu kelemahan murid tahun empat dalam menulis ayat
tunggal yang gramatis dalam subjek bahasa Melayu melalui sesi PdPR. Kesalahan yang kerap
dilakukan iaitu ayat tunggal yang ditulis tergantung dan tidak gramatis. Murid kurang
memberikan respons semasa sesi PdPR dilaksanakan dengan menggunakan pelantar
Telegram sehingga mengakibatkan pembinaan ayat tunggal mereka tidak ditulis dengan
struktur ayat yang betul. Menurut Rizal Farista dan Ilham Ali M (2018), pembelajaran dapat
didefinisikan sebagai proses belajar yang memiliki aspek penting iaitu bagaimana murid dapat
aktif mempelajari bahan ilmiah secara media pelbagai yang disediakan sehingga dapat
mereka menguasai sesuatu bahan itu dengan baik. Pengkaji telah mengaplikasikan teknik
GeraVisio (Gerakan, Visual dan Audio) bagi membantu murid-murid memahami kaedah
menulis ayat tunggal yang gramatis dengan lebih seronok. BBB VidAniPen (Video Animasi
Pendidikan) pula merupakan salah satu daripada Bahan Bantu Belajar (BBB) yang disediakan
oleh pengkaji bagi menyelesaikan masalah kemahiran menulis ini. Hal ini sangat bersesuaian
dengan kenyataan Baharom Mohamad (2009) yang menyatakan bahawa murid-murid akan
berminat untuk belajar sekiranya mereka berasa seronok ketika berada dalam sesi pengajaran
dan pembelajaran.