FOKUS KAJIAN
Berdasarkan pemerhatian yang dijalankan semasa PdPc bagi mata pelajaran bahasa
Melayu, didapati ramai murid yang sering keliru dalam penggunaan /di/ semasa
membina ayat atau menjawab soalan tatabahasa. Kekeliruan yang dimaksudkan ialah
murid sukar untuk menulis atau membezakan /di/ sebagai kata sendi nama dan
imbuhan awalan dengan betul. Kekeliruan murid terhadap perkara ini menyebabkan
sesuatu ayat yang mempunyai kata /di/ ditulis dengan cara yang tidak tepat. Pengkaji
bertanya kepada murid tentang masalah yang mereka hadapi dan murid mengatakan
bahawa mereka sukar membezakan penggunaan /di/ dengan betul semasa
menulisnya sebagai kata sendi nama dan imbuhan awalan.
Selain itu, terdapat juga murid yang mengatakan bahawa mereka menulis
secara suka hati tanpa berfikir cara penulisan /di/ yang betul. Rentetan daripada
masalah ini menyebabkan murid menyelesaikan tugasan secara sambil lewa dan
berasa tidak yakin untuk menulis /di/ sama ada perlu dijarakkan atau didekatkan.
Penguasaan kemahiran tatabahasa ini merupakan asas kemahiran membina ayat
yang sangat penting dalam kemahiran menulis. Apabila murid tidak dapat menguasai
kemahiran ini, ianya akan memberi kesan terhadap kemahiran menulis yang lebih
tinggi. Oleh hal yang demikian, pengkaji telah menghasilkan satu intervensi
berasaskan bahan bantu mengajar bagi menyelesaikan masalah ini dalam kalangan
murid yang lemah.
Walau bagaimanapun, semasa berada di Tahap 1 lagi, murid seharusnya
menguasai kemahiran menggunakan /di/ sebagai kata sendi nama dan imbuhan
awalan. Hal ini dapat dibuktikan dalam Dokumen Standard Kurikulum Pentaksiran
(DSKP) Bahasa Melayu Semakan 2017 Tahun 3, standard pembelajaran 5.1.4 iaitu
memahami dan menggunakan kata tugas mengikut konteks dalam perkara (ii) kata
sendi nama serta standard pembelajaran 5.2.1 iaitu memahami dan menggunakan
kata mengikut konteks dalam perkara (ii) kata berimbuhan awalan. Namun begitu,
masih terdapat murid yang tidak menguasai penggunaan /di/ dan sering membuat
kesilapan meskipun sudah berada di Tahun 4.