Sebelum pengkaji melonjak ke satu aras yang lebih tinggi, pengkaji harus
merenung kembali kekuatan asas menulis murid agar murid dapat belajar secara
berperingkat di samping mencapai objektif pembelajaran dengan berkesan. Pengkaji
memikirkan penyelesaian terhadap permasalahan tersebut seperti mengaplikasikan
penggunaan BBM untuk membantu murid meningkatkan kemahiran menulis
perenggan dalam karangan khususnya pada peringkat asas menulis. Menurut
pandangan Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying & Sharifah Fakhriah Syed Ahmad
(2017), kepelbagaian media akan meningkatkan proses pengajaran dan
pembelajaran serta meningkatkan pemikiran kritikal dan kemahiran mental. Oleh itu,
penggunaan bahan bantu yang maujud dan berwarna-warni dapat meningkatkan
bukan sahaja penumpuan dan minat murid dalam pembelajaran tetapi juga dapat
melatih intelek serta tahap kognitif murid untuk berfikir. Bahan bantu mengajar
membantu murid untuk jelas dan faham dengan pengajaran guru selaras dengan
pendapat Charles Muling Libau & Ying-Leh Ling (2020) yang menyatakan bahawa
BBM diperlukan untuk meningkatkan pemahaman pelajar. Maka, dalam kajian ini,
BBM BiNet dicipta bagi meningkatkan penguasaan murid menulis perenggan secara
mekanis dengan betul dan kemas.
FOKUS KAJIAN
Fokus kajian ini adalah untuk meningkatkan penguasaan kemahiran menulis
perenggan dalam karangan secara mekanis dengan format yang betul di samping
mempamerkan tulisan yang kemas dan jelas. Kajian tindakan ini berfokus kepada
penggunaan bahan bantu mengajar BiNet bagi meningkatkan penguasaan
kemahiran menulis perenggan secara mekanis dengan cara yang betul, kemas
dan tersusun. Menurut Yuznaili Saleh (2016) menulis secara mekanis ialah
kemahiran menulis peringkat awal dan lebih mudah daripada kemahiran menulis
mentalis misalnya peserta kajian diminta untuk menulis semula ayat yang mereka
lihat atau baca. Maka, kajian ini berfokuskan kepada meningkatkan kemahiran
menulis perenggan secara mekanis melalui teknik salin semula. BBM BiNet
membantu peserta kajian untuk menulis perenggan dengan betul, kemas dan
tersusun.