dapat membantu murid untuk mendapatkan markah yang cemerlang dalam mata
pelajaran Bahasa Melayu.
Pengajaran kemahiran mengarang disyorkan supaya dapat memberikan
tumpuan yang lebih kepada proses yang perlu dilalui semasa mengarang dan bukan
kepada hasil karangan semata-mata. Dalam pengajaran mengarang, proses
mengarang yang melibatkan penggunaan strategi dan teknik perlu diambil berat oleh
setiap guru. Hal ini menunjukkan kepentingan penyelarasan bentuk pengajaran guru
dengan bentuk proses mengarang dalam kalangan pelajar. Oleh itu, bagi
meningkatkan kemahiran mengembangkan isi karangan jenis fakta ini, pengkaji telah
mengambil satu inisiatif untuk memudahkan murid menghuraikan isi karangan
dengan lebih tepat dan gramatis.
FOKUS KAJIAN
Pengkaji merupakan seorang pelajar Institut Pendidikan Guru Kampus Kent, Tuaran,
Sabah. Pengkaji telah menjalani praktikum fasa dua di salah sebuah sekolah yang
terletak di Daerah Kangar, Perlis. Pengkaji telah diamanahkan untuk mengajar di
kelas 5 Arif yang terdiri daripada 23 orang murid. Berdasarkan pemerhatian
sepanjang menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas,
pengkaji mendapati hanya empat orang murid berada pada aras sederhana semasa
menulis karangan fakta. Kelemahan penulisan karangan fakta yang dihasilkan oleh
peserta kajian antaranya ialah:
I. Murid tidak dapat membina pendahuluan karangan yang baik.
II. Murid hanya dapat menulis 1 atau 2 isi utama dalam penulisan
karangan.
III. Murid tidak dapat mengembangkan isi utama menjadi satu
perenggan yang lengkap.
Sekiranya isu ini tidak diatasi, murid tidak dapat menulis karangan dengan
baik dalam masa yang ditetapkan. Oleh yang demikian, kajian ini memfokuskan
kepada peningkatan penguasaan mengembangkan isi karangan fakta dalam
kalangan peserta kajian. Pengkaji yakin isu ini dapat diselesaikan dengan
menggunakan teknik dan strategi yang betul kepada peserta kajian. Penggunaan
akronim dapat membantu murid mengingat cara menulis karangan dengan lebih
efektif. Menurut Riner (2000), masalah utama yang dihadapi oleh murid-murid
berpencapaian rendah adalah mereka sukar untuk mengingat kembali maklumat
yang penting. Justeru, guru perlu menjalankan tindakan dari semasa ke semasa