PENGENALAN
Aspek tatabahasa merupakan aspek yang penting dalam pembelajaran bahasa
Melayu yang menjadi mata pelajaran teras dalam sistem pendidikan di
Malaysia. Pengetahuan tentang tatabahasa merupakan unsur penting yang
perlu dikuasai dan diketahui oleh setiap murid dalam mempelajari subjek
bahasa Melayu. Ringkasnya, ilmu tatabahasa perlu dikuasai oleh mereka
kerana ilmu itu dapat membantu mereka meningkatkan kemahiran dari segi
pembinaan ayat bagi tujuan penulisan dan juga sebagai penutur bahasa
Melayu yang baik.
Kelemahan menguasai tatabahasa dalam penulisan dan pertuturan
menandakan kurangnya keindahan gaya bahasa atau gramatisnya bahasa
yang dituturkan khususnya bahasa Melayu. Oleh yang demikian, kajian
tindakan telah dihasilkan bertujuan untuk mengubah amalan murid supaya
memahami dan menguasai sistem tatabahasa Melayu. Amalan ini juga dapat
membantu murid dalam penghasilan bahasa tulisan dan pertuturan yang
gramatis.
Kajian ini dilaksanakan kepada lima orang murid tahun lima di sebuah
sekolah di daerah Tuaran. Sebelum kajian ini dilakukan, tinjauan telah dibuat
menggunakan kaedah pemerhatian dan penyelidikan berdasarkan latihan dan
aktiviti yang diberikan oleh pengkaji kepada murid tahun lima tersebut.
Kemudian, sesi temubual juga dilakukan bersama guru mata pelajaran bahasa
Melayu yang lain bagi mendalami lebih lanjut asbab murid tidak dapat
menguasai tajuk yang telah difokuskan.
Secara keseluruhannya, majoriti murid-murid yang bersekolah di
sekolah ini adalah berbangsa Melayu dan hanya beberapa peratus sahaja
berbangsa india dan lain-lain. Murid- murid di sekolah ini sudah lazim bertutur
dalam dialek negeri masing-masing yang merupakan bahasa komunikasi utama
di sekolah mahupun di rumah. Namun begitu, permasalahan yang dihadapi
dimana murid murid berbangsa India kurang mahir bertutur, menulis dan
membaca bahasa Melayu dengan baik. Hal ini merupakan masalah persekitaran
dan kekeluargaan serta tahap kesediaan belajar yang dialami oleh murid.
Namun, kebolehan beberapa orang murid yang mampu membaca dengan baik
dapat mewujudkan situasi yang membina.