Contoh 7: The Power over Lives
Chiam Sun May
Tahun/ Tingkatan: Tahun 4
Standard kandungan (Sains)
7.2 Sumber Tenaga Boleh Dibaharui dan Sumber Tenaga Tidak Boleh Dibaharui
Standard pembelajaran (Sains)
7.2.1 Menjelaskan dengan contoh sumber tenaga boleh dibaharui dan tenaga tidak boleh
dibaharui melalui pemerhatian menerusi pelbagai media
7.2.2 Menjana idea kepentingan penggunaan sumber tenaga secara berhemah
7.2.3 Menjelaskan pemerhatian tentang sumber tenaga boleh dibaharui dan sumber tenaga
tidak boleh dibaharui melalui lakaran, TMK, penulisan atau lisan secara kreatif
Amalan sains
Membangunkan dan menggunakan model; Merancang dan menjalankan penyiasatan,
mendapatkan dan menilai maklumat, serta berkomunikasikan maklumat
Kemahiran abad ke-21/ nilai/ sikap saintifik
Pemikiran kreatif, pemikiran kritis, kemahiran berkomunikasi, kemahiran berkolaboratif
Ringkasan aktiviti
Aktiviti bermula dengan pengelasan tenaga yang boleh dibaharui/tidak boleh dibaharui secara
individu (Rujuk Lampiran ML7-1: Lembaran kerja). Seterusnya, murid-murid diberi tugasan
individu untuk membentuk model dan mengenal pasti lakaran model yang paling sesuai dalam
kumpulan.
Tugasan berkumpulan diteruskan dan dengan bimbingan guru, murid-murid membuat
pembentangan, menyampaikan maklumat yang penting, membuat kesimpulan tentang tenaga
yang boleh dibaharui/tidak boleh dibaharui, menaakul kepentingan langkah penjimatan
penggunaan tenaga untuk kelestarian sumber tenaga dan kepentingan penggunaan sumber
tenaga secara berhemah.
Untuk memberi pengalaman autentik kepada murid-murid, mereka diminta menyiasat operasi
syarikat-syarikat pengusaha sumber tenaga tempatan, meneroka perkara-perkara seperti
impak/kesan daripada aktiviti-aktiviti manusia. Mereka mempersembahkan hasil siasatan,
membincangkan pengalaman hasil pembelajaran daripada aktiviti ini, berkomunikasi secara
kreatif dan inovatif tentang inovasi dalam penggunaan sumber tenaga pada masa depan, serta
mencadangkan cara-cara/langkah-langkah penyelesaian masalah.
Guru membetulkan miskonsepsi (jika ada) dan membimbing murid membuat kesimpulan
tentang tenaga yang boleh dibaharui/tidak boleh dibaharui, dan kepentingan penggunaan
sumber tenaga secara berhemah. Rancangan pembelajaran diakhiri dengan pentaksiran yang
merujuk kepada standard prestasi DSKP atau bentuk pentaksiran lain yang mengamalkan
prinsip-prinsip asas pentaksiran.
Alat dan bahan: Lembaran kerja, Contoh rubrik penilaian