178
Pendidikan Sains dan Murid Peribumi
Cindy Wong Chyee Chen
Pengenalan
Pendidikan sememangnya memainkan peranan yang amat penting dalam pembangunan
sesebuah masyarakat di mana ia berupaya mempengaruhi pembangunan diri, meningkatkan
taraf hidup, mencorakkan masa hadapan dan juga membangunkan modal insan.
Pembangunan pesat yang berlaku di Malaysia telah membuka peluang kepada proses
modenisasi dan juga akses kepada pendidikan, khasnya kepada golongan peribumi di
pedalaman. Namun, jika dibandingkan dengan murid arus perdana, murid-murid peribumi di
pedalaman ini masih dianggap jauh ketinggalan di belakang dalam aspek pendidikan.
Masyarakat peribumi di kawasan pedalaman seringkali dikaitkan dengan mempunyai prestasi
akademik yang rendah. Ini termasuk juga prestasi dalam bidang sains (Bamhardt et al., 2000;
CCL, 2007; Meyer & Crawford, 2011). Pendidikan sains sentiasa diberi keutamaan dalam
kurikulum persekolahan Malaysia iaitu semua murid diwajibkan untuk mempelajari sains
mulai peringkat prasekolah (Lilia, 2013). Walaupun pendedahan seawal prasekolah, prestasi
pendidikan sains dalam kalangan murid peribumi di pedalaman masih rendah jika
dibandingkan dengan murid di sekolah bandar. Sebahagian isu-isu pendidikan yang timbul
ialah tahap keciciran yang tinggi, tiada motivasi dalam pembelajaran, tahap keprihatinan ibu
bapa terhadap pendidikan anak yang rendah dan pendekatan pedagogi yang tidak sesuai
(BPK, 2012).
Di Malaysia, murid-murid peribumi di kawasan pedalaman cenderung menganggap
pendidikan sains sebagai tidak penting dan tidak relevan dengan kehidupan seharian mereka.
Ini menyebabkan mereka tidak berminat untuk belajar sains (Nur Bahiyah, Maryati, Azman
& Mohd. Najib, 2013; Subahan et al., 2011). Ketidakhadiran yang tinggi dan ketidaklibatan
yang aktif dalam proses pembelajaran menyebabkan murid-murid peribumi ini mengalami
‘kerugian’ dari aspek pengetahuan dan juga kemahiran. Sehubungan itu, penekanan harus
diberikan terhadap bagaimana murid-murid peribumi belajar dan pendekatan atau strategi
pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang sesuai perlu dikaji dan dikenal pasti untuk
meningkatkan peluang dalam pembelajaran sains. Ini secara langsung menyumbang kepada
proses pembelajaran yang lebih bermakna.
Bagaimanakah murid peribumi belajar? Apakah strategi yang sesuai untuk membolehkan
pembelajaran bermakna dalam kalangan murid peribumi?
Menurut Ma’rof dan Sarjit (2008), murid peribumi yang berada di kawasan pedalaman ini
mempunyai perasaan yang mendalam terhadap alam sekitar. Justeru, aktiviti pembelajaran
yang melibatkan alam sekitar akan menarik minat mereka. Ini disebabkan hutan dan alam
sekitar merupakan elemen yang penting dan relevan dalam kehidupan seharian mereka.
Keadaan ini dikatakan akan memberi impak positif ke atas proses PdP mereka. Selain itu,
Smith dan Sobel (2010) menyatakan pendekatan Pembelajaran Luar Bilik Darjah (PLBD)
akan dapat membina pengetahuan yang dinamik dan seterusnya dapat meneroka kemahiran
dan kemampuan murid-murid. Menurut Ayla (2016), murid-murid akan lebih mahu
mempelajari topik saintifik sekiranya mereka mendapati pengetahuan sains yang dipelajari
adalah penting secara sosial dan juga akademik. Kerelevenan pengetahuan dan kemahiran