SEMINAR PENYELIDIKAN PENDIDIKAN PERINGKAT KEBANGSAAN ZON SABAH TAHUN 2022 (SepZon22)
SepZon22/166
Era ledakan digital pada masa kini telah merancakkan lagi penyebaran maklumat dengan
pantas sehingga membawa kepada pembangunan pesat dalam teknologi di negara-negara yang
lebih maju dan dieksploitasi sepenuhya terutama dalam bidang komunikasi. Justeru itu, tidak
hairanlah negara-negara yang lebih maju telah lama mempraktikan bengkel dalam talian kerana
mampu menyalurkan maklumat dengan pantas. Pelaksanaan bengkel dalam talian dilihat
merupakan pilihan yang tepat apatah lagi dalam musim Pandemik Covid-19 pada ketika ini.
Kebanyakan universiti dan institusi tempatan baik awam mahupun swasta termasuk institut
pendidikan guru (IPG) di Malaysia tiada pilihan lain dengan menggunakan kaedah PdPc secara
maya atau secara dalam talian (Mohomad Idham Md Razak 2020) bagi memastikan silibus
pengajaran/ objektif pengendalian bengkel dapat disampaikan dengan sebaik mungkin dan sesi
pembelajaran tidak ditangguhkan. Penularan pandemik Covid-19 menyebabkan pergerakan
secara fizikal sangat terbatas atau langsung tidak ada pergerakan fizikal. Akibatnya banyak
kursus dan bengkel yang sepatutnya dilaksanakan secara bersemuka telah ditukar kepada
bengkel dalam talian.
Seiring dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia
bagi membendung penularan pandemik COVID-19, kaedah PdPc dalam talian seperti ‘Google
Classroom” merupakan suatu keperluan (Fatimah Mustaffa, Kamarudin Abu Hassan, Salinah
Pit, 2021). Untuk memastikan kaedah pembelajaran dalam talian yang berkesan, terdapat
beberapa faktor yang perlu diambil kira seperti pembinaan kawalan persekitaran, kepentingan
interaksi secara interaktif, latihan yang efektif dan berkesan, akses capaian teknologi yang
maksimum, tahap piawaian yang standard, jaminan kualiti sumber yang tidak terhad,
penentangan terhadap perubahan semasa dan teknologi, permasalahan berkaitan harta
intelektual dan hak cipta serta sokongan institusi pendidikan yang menjalankan kaedah
pembelajaran atas talian (Najmi Syahiran Mamat, 2020).
Justeru, setiap individu yang terlibat sebagai pengendali kursus dan bengkel harus memastikan
objektif bengkel tercapai serta mengambil kira kesediaan peserta yang merangkumi emosi dan
kemudahan akses internet yang baik. Oleh itu, kajian ini perlu dijalankan dengan menilai
keberkesanan bengkel dalam talian IBSE yang dikendalikan oleh tenaga pengajar utama (TPU)
IBSE merangkumi persepsi peserta kursus terhadap bengkel dalam talian IBSE, tempoh
bengkel (T), persediaan TPU bengkel (P), pandangan peserta bengkel terhadap penggunaan
flipped classroom (F) dan seterusnya melihat ruang penambahbaikan bagi pengendalian
bengkel secara dalam talian (PF).
UNESCO dan UNFCCC dalam World Economic Forum (2015) telah mengadakan promosi
maklumat pendidikan kepada guru-guru berkenaan dengan perubahan iklim (climate change)
dengan menyediakan alat dan pengetahuan yang mereka perlukan melalui kursus dalam talian.
Seramai 14 juta pelajar dan 1.2 juta guru di 58 negara telah terlibat dalam pembelajaran dalam
talian sehingga membawa kepada kejayaan menandatangani Prinsip Pendidikan Pengurusan
Bertanggungjawab yang dibangunkan oleh UN Global Compact demi mencapai Pendidikan
untuk pembangunan mampan (Education Sustainable Development).
Pelaksanaan STEM dalam PdPc di negara kita bermula apabila Kementerian Pendidikan
Malaysia (KPM) melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013-2025)
pada 6 September 2012. Transformasi pendidikan dalam tempoh 13 tahun dilaksanakan
menerusi tiga gelombang dan melibatkan 11 anjakan. Anjakan pertama memfokuskan
kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa. Salah satu objektif
dalam anjakan pertama yang ingin dicapai ialah meningkatkan kualiti pendidikan negara dalam
STEM (Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, 2013).