SEMINAR PENYELIDIKAN PENDIDIKAN PERINGKAT KEBANGSAAN ZON SABAH TAHUN 2022 (SepZon22)
SepZon22/167
Ekoran daripada transformasi pendidikan, guru-guru sains perlu kompeten dari segi
pengetahuan kandungan dan kepakaran dalam pedagogi, dan nilai dalam melaksanakan STEM
di sekolah (Alves, Sousa, Fernandes, Cardoso, Carvalho, Figueiredo & Pereira, 2016). Mereka
perlu kompeten dalam aspek seperti membuat perancangan, melaksanakan dan membuat
penilaian dalam PdPc.
Justeru, untuk meningkatkan kompetensi, mereka perlu sentiasa didedahkan dengan latihan
pembangunan profesionalisme berkaitan dengan pendidikan STEM (Shernoff, 2015). Kaedah
pengendalian bengkel kepada guru-guru juga turut mengubah wadah dan mekanisma kesan
daripada penularaan pandemik Covid-19. Persediaan, penyampaian dan keperluan ini perlu
berubah mengikut konteks dan situasi dalam talian.
Kajian ini meneliti persepsi peserta bengkel secara dalam talian, pandangan mereka terhadap
aplikasi flipped classroom dan bertujuan mencari ruang penambahbaikan pengendalian
bengkel dalam talian dengan lebih berkesan. Inisiatif dalam bidang pendidikan turut melangkah
keluar dari kepompong zon selesa demi menyahut cabaran dalam meningkatkan kompetensi
para pendidik selaras dengan perubahan drastik masa kini untuk menyediakan modal insan ke
arah pendidikan abad ke-21. Pandemik Covid-19 sebenarnya secara tidak langsung telah
menaiktaraf kaedah pelaksanaan kerja dalam dunia pendidikan. KPM (2013) menegaskan
bahawa objektif asas dalam mana-mana sistem pendidikan adalah untuk memastikan setiap
murid dibekalkan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk berjaya dalam kehidupan.
Guru sebagai pelaksana di peringkat sekolah harus bersikap fleksibel dan sentiasa berusaha
menambah nilai profesionalisme dalam usaha untuk menyahut cabaran semasa. Oleh itu
pengetahuan, resos, kemudahan dan perkembangan professionalisme menyumbang impak
yang besar ke atas kualiti PdPc (Abdul Rahim et. al.,2000)
Oleh yang demikian, tahap kesediaan guru-guru dalam meningkatkan kemahiran turut berubah
selaras dengan keperluan masa kini. Bengkel dalam talian merupakan kaedah terpantas dalam
menyalurkan maklumat untuk membantu meningkatkan tahap kompetensi guru-guru di
pelbagai peringkat terutama di peringkat rendah dan menengah. Nurul (2018) menyatakan
bahawa elemen kemahiran TMK dan tahap motivasi memfokuskan kepada usaha melahirkan
insan yang mempunyai kemahiran komunikasi, kolaboratif serta pemikiran yang kritis dan
kreatif dengan bantuan TMK. Dalam corak pembelajaran abad ke-21 (PAK21) terutamanya
dalam proses penilaian dalam talian (PDT), elemen kemahiran TMK dan tahap motivasi para
guru memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan keberkesanan PDT (Chelva
dan Aslina, 2021). Seiring dengan keperluan semasa, penyampaian maklumat serta kemahiran
dalam PdPc seharusnya perlu diberi perhatian supaya guru-guru mendapat pendedahan segera
yang berlaku dalam dunia pendidikan. Justeru bengkel dalam talian merupakan saluran yang
paling tepat dan cepat untuk sampai kepada sasaran yakni guru-guru. Oleh itu kajian ini perlu
dijalankan untuk melihat keberkesanan bengkel dalam talian IBSE yang dikendalikan oleh
tenaga pengajar utama (TPU) IBSE.
Kerangka kajian adalah seperti dalam Rajah 1.