43
Bertanya Soalan Seperti Saintis.........................................................................
Koay Suan See, Ng Mei Eng, Juriah Abu Bakar dan Cindy Wong Chyee Chen
Pengenalan
Semua inkuiri bermula dengan soalan.
Terdapat banyak kemahiran inkuiri sains yang penting seperti mengemukakan soalan, membuat
ramalan, merancang penyiasatan, menganalisis data dan menyokong pernyataan dengan bukti.
Salah satu kemahiran asas adalah ‘mengemukakan soalan’.
Sains bermula dengan soalan tentang sesuatu fenomena dan diikuti dengan usaha untuk membina
penjelasan mengapa fenomena itu berlaku. Salah satu amalan sains ialah keupayaan untuk
menjana soalan yang dapat dijawab secara empirikal berdasarkan apa yang telah diketahui serta
menentukan soalan yang masih tidak dijawab dengan memuaskan (Bybee, 2011).
Soalan yang dimaksudkan adalah soalan saintifik dan ia boleh timbul melalui pelbagai cara.
Antaranya, didorong oleh rasa ingin tahu terhadap alam, diinspirasikan oleh ramalan tentang
model, teori atau dapatan penyiasatan lepas ataupun dirangsang oleh keinginan untuk
menyelesaikan masalah. Soalan saintifik adalah berbeza dengan soalan lain kerana jawapannya
adalah berdasarkan penjelasan yang disokong oleh bukti empirikal, termasuk bukti yang
dikumpulkan oleh orang lain atau melalui penyiasatan (NGSS Lead States, 2013).
Sains merupakan suatu cara untuk mengetahui (way of knowing) yang boleh diamalkan oleh
orang ramai dan tidak terhad kepada ahli sains.
Sebagaimana yang kita sedia maklum, kanak-kanak secara semulajadi memiliki sifat ingin tahu
tentang apa yang mereka perhatikan dalam alam ini. Meskipun sebelum memasuki sekolah
rendah, kanak-kanak bertanya soalan sesama rakan dan kepada orang dewasa tentang perkara di
sekeliling mereka. Kanak-kanak ini seumpama saintis, menerokai penjelasan terhadap soalan
mereka. Mereka ingin tahu bagaimana burung terbang, mengapa pokok tumbuh tinggi, sebab
munculnya pelangi, dan mengapa ada bola yang tenggelam dan ada pula bola yang terapung,
serta lain-lain lagi.
Keupayaan mengemukakan soalan adalah satu kemahiran yang boleh dipelajari. Kemahiran ini
penting untuk membangunkan tabiat minda saintifik. Walaupun seseorang itu bukan saintis
mahupun jurutera, keupayaan untuk mengemukakan soalan yang jelas merupakan satu
komponen penting dalam literasi sains, dan ini akan menjadikan mereka pengguna pengetahuan
sains yang kritis.
Murid yang berada di mana-mana tahap persekolahan sepatutnya mampu mengemukakan soalan
tentang teks yang dibaca, ciri-ciri bagi fenomena yang diperhatikan dan kesimpulan yang dibuat