65
Menjalankan Eksperimen
Normadiah Bokoh, Koay Suan See, Suziyana Hassim dan Suhanna Zainuddin
Pengenalan
Para saintis dan jurutera menyiasat dan membuat pemerhatian terhadap alam demi dua tujuan:
(1) untuk menghuraikan alam secara sistematik dan (2) untuk membangun dan menguji teori
dan penjelasan tentang bagaimana alam berfungsi (National Research Council, 2012). Bagi
tujuan yang pertama, pemerhatian dan penghuraian yang teliti sering membawa kepada
pengenalpastian ciri-ciri yang perlu dijelaskan atau soalan yang perlu diterokai. Tujuan yang
kedua pula memerlukan penyiasatan untuk menguji model penjelasan tentang alam berserta
ramalannya, dan juga sama ada inferens yang dicadangkan oleh model itu disokong oleh data.
Perancangan penyiasatan sedemikian memerlukan kemahiran untuk merancang inkuiri
eksperimen atau inkuiri pemerhatian yang sesuai untuk menjawab soalan yang dikemukakan
atau menguji hipotesis yang telah dibina. Proses ini bermula dengan mengenal pasti
pemboleh ubah yang berkaitan dan membuat keputusan bagaimana pemboleh ubah dapat
diperhatikan, diukur, ataupun dikawalkan. Jika inkuiri pemerhatian, pengenalpastian apa
yang perlu diperhatikan, kaedah pemerhatian dan bagaimana data dikumpul perlu dijalankan
(Pollen, 2009).
Eksperimen adalah teras penyiasatan di bilik darjah sains dan sesuai digunakan dalam
mana-mana aras inkuiri.
Eksperimen merupakan salah satu protokol yang penting dalam pembelajaran sains secara
inkuiri. Aktiviti menjalankan eksperimen dapat digunapakai dalam keempat-empat aras
inkuiri mengikut tahap penguasaan kemahiran saintifik murid. Penglibatan dalam
menjalankan eksperimen membantu membangunkan pemikiran saintifik murid. Murid
berpeluang untuk berfikir dan memahami fenomena yang berlaku di sekeliling mereka dan
bukannya sekadar menghafal fakta mengenainya. Eksperimen juga memberi peluang kepada
murid untuk menemui idea dan pengetahuan baharu secara sendiri. Menurut Bruner (1997),
jika pelajar menemui pengetahuan dan hubungan antara pengetahuan-pengetahuan itu secara
sendiri, maka mereka akan memperoleh pemahaman yang lebih mendalam.
Nurshamshida, Nabilah dan Nurlatifah (2013) menyatakan bahawa guru cenderung
menggunakan kaedah/protokol eksperimen bagi mendorong minat murid untuk belajar sains.
Ini adalah kerana semasa menjalankan eksperimen, murid sering mendapat peluang untuk
memanipulasi objek, menguji hipotesis, dan bekerjasama untuk menyelesaikan sesuatu
masalah atau membuktikan sesuatu fenomena yang menarik.
Apakah yang anda faham tentang tentang menjalankan eksperimen?
Berapa kerap murid-murid diberi peluang untuk menjalankan eksperimen di dalam kelas?
Semasa menjalankan eksperimen, bagaimanakah anda membimbing murid secara eksplisit
untuk merancang dan menjalankan eksperimen?