Tanpa engkau ada di sisiku
Malam tanpa bintang
Siang pun tak terang
Rinduku belum kau balas jua
Hajah Asadah yang sedang mengunyah sirih di tepi tiang seri rumah,
tergoyang-goyang kepala mendengar alunan gambus itu. Dayang yang sudah
berbungkus dalam selimut, bingkas bangun. Yajidkah? Yajid!
“Yajid!” jerit Dayang sambil menolak daun pintu dengan kuat.
Haji Rafi yang sedang memasang tali gambus terdongak kepala.
Mata Dayang terbeliak. Rupanya Setia yang sedang asyik memetik gambus
di tepi jendela. Inilah pertama kali dia mendengar Setia memetik gambus.
Merdu memang merdu! Tapi Dayang mula mengamuk.
“Sudah. Sudah. Jangan kau petik gambus lagi. Aku benci kau!” Dayang
meraung bagai orang tidak siuman. Setia terdiam. Gambus yang dibuat dari
kayu cempedak itu terus digantung di dinding. Dia terus membuka pintu lalu
menuruni anak tangga. Dia melabuhkan punggung di pangkin di tepi tangga.
Sambil berbaring di atas pangkin, matanya merenung bintang yang bertaburan
di langit. Daripada aku bergaduh dengan Dayang, lebih baik aku kira bintang.
Lagi berfaedah. Hatipun tenang. Itulah prinsip Setia. Meskipun dia tidak suka
dipaksa kahwin dengan Dayang, tetapi dia tidak pernah menunjukkan
perasaan benci. Dia memilih untuk diam. Dayang tidak bersalah. Dia juga tidak
bersalah. Biarlah masa yang menentukan.
Setia terjaga dari tidur apabila terasa bahunya digoyang. “Bangunlah Setia.
Pergi naik. Sini banyak nyamuk...” Lembut suara Haji Rafi.
Sambil menggosok-gosok mata, perlahan-lahan dia memanjat anak tangga
lalu terus ke bilik. Dayang tidak mengunci pintu bilik pun sudah syukur. Dia
melangkah masuk. Dilihatnya Dayang sudah lena tidur berbungkus selimut.
Dia melihat tingkap masih ternganga. Perlahan dia merapatkan tingkap lalu
merebahkan badan di atas lantai. Di situlah tempat tidurnya. Dia perlu rehat
dengan cukup kerana esok banyak kerja melarik gambus perlu diselesaikan.
Sejak Yajid lari meninggalkan kampung, semua kerja terpaksa disiapkan
oleh Setia. Memotong kayu, melubang gambus, menjemur, melarik, melicin
dan memasang tali gambus...