“Aku tahulah kau anak Setia. Tapi kau jangan berani kurang ajar dengan aku
ya. Aku cuma mahu membela nasib mak kau. Kau faham?” Merah mata Awang
menahan marah. Dia terus berlalu sambil tidak berhenti menyumpah seranah.
“Pak Haji... Mak Mong... Dayang... Setia sudah pulang!” Suara riuh rendah
orang kampung menuju ke rumah Haji Rafi. Langkah Yajid terhenti. Dayang terus
melompat dan meluru menuju ke sosok tubuh yang sedang dipapah oleh orang
kampung.
“Abang!” Dayang sudah meraung. Tubuh Setia dipeluk sekuat-kuatnya.
“Kenapa abang lari tinggalkan Dayang... kenapa bang...” Dulu tubuh Setia tegap
dan gagah. Tapi kini hanya tubuh yang kurus dan lemah.
Suasana sayu dan pilu. Setia hanya termangu-mangu bagai hilang ingatan.
Pakaiannya yang compang camping dan basah dengan air laut. Suara tangisan
dan rintihan Dayang tiada henti-hentinya. Semua menjadi sebak.
“Apa sebenarnya yang terjadi, Saleh?” Haji Rafi dengan tenang bertanya pada
Saleh yang memapah tubuh Setia tadi.
“Saya turun ke laut menangkap ikan macam biasa Pak Haji. Tiba-tiba saya
jumpa perahu Awang Setia terdampar di tengah laut. Syukurlah saya dapat
mengenal wajahnya. Setia tidak bercakap apa-apa dan tidak tahu apa yang
berlaku pada dirinya. Terus saya bawa dia ke sini,” terang Saleh bersungguh-
sungguh.
“Kau sudah tidak layak jadi suami Dayang, Setia. Berbelas-belas tahun kira
sudah jatuh talak. Begini rupa kau hendak balik pada Dayang?” Dengan
angkuhnya Yajid mengeluarkan fatwa bagai seorang mufti.
Mata Setia terus melingas memandang Yajid. “Kau... kau... kau yang tangkap
aku dan buang aku ke laut kan, Yajid?” Tergagap-gagap dan terketar-ketar suara
Setia. Badannya sudah tergelongsor jatuh ke tanah. Dia sungguh lemah. Semua
terperanjat mendengarnya. Semua berpandangan dengan mulut terlopong.
Wajah Yajid sudah pucat. Dia tidak menyangka sama sekali Setia masih dapat
ingat peristiwa itu. Dia sudah memasukkan ke mulut Setia racun yang boleh
membunuh dan menghilangkan ingatan.
“Abang... Dayang masih setia menunggu abang. Dayang masih isteri abang...”
Dayang yang tidak berhenti menangis dari tadi terus memeluk tubuh Awang Setia
yang sudah terbaring (^25)