“Jangan kau sebut lagi cerita lama. Aku tetap akan tunggu laki aku. Aku
cinta laki aku! Pergi kau!” Dengan tangisan yang semakin kuat, Dayang berlari
masuk ke rumah. Sudahlah suami yang dicintai hilang tanpa kata, kini si Yajid
pula muncul membuat onar.
DAYANG senyum melihat Mat Mujakir melarik gambus. Gambus berukiran
naga yang cantik itu dilicinkan hingga berkilat. “Sekejap aku pasang tali, ya,
mak. Mesti sedap bunyinya...” Mat Mujakir tersenyum girang. Sejak dia sudah
besar ini, kerja-kerja membuat gambus mula sebati dengan jiwanya. Dayang
tersenyum. Wajah Mat Mujakir yang persis bapanya yang hilang, meruntun
hati Dayang. “Mak percaya, kau akan ikut jejak bapamu. Mahir membuat
gambus...” Terketar-ketar suara Dayang menahan sayu. Hampir tujuh belas
tahun Setia hilang. Rindunya terlalu sarat.
Kepala anaknya diusap lembut. Mat Mujakir senyum lalu memeluk bahu
ibunya. Dayang hanya memerhatikan Mat Mujakir memasang tiga tali dawai di
gambus itu. Hampir seluruh bahagian gambus itu telah terbentuk dengan elok
dan berkilat. Bermula dari kepala, leher, perut gambus hinggalah ekornya.
“Sudah siap, mak. Aku main gambus ya...”
Meleleh air mata Dayang melihat anaknya bermain gambus. Lagu Hatiku
Di Hatimu tinggalan suaminya dialunkan dengan baik oleh anak lelaki
tunggalnya itu. Esakan halus mula kedengaran. Bahunya terhenjut-henjut
menahan tangis.
“Buat apalah kau kenang orang yang sampai hati meninggalkan kau,
Dayang. Aku kan ada. Tujuh belas tahun aku tunggu kau. Tapi kau degil,
Dayang.” Tidak semena-mena Yajid muncul dengan kata-katanya yang sudah
bengkak bernanah telinga Dayang mendengarnya.
“Tunggu? Tunggu apa kalau kau pun sudah kahwin, Yajid?” bantah
Dayang. Dia bukan sedih kerana Yajid sudah berkahwin, tapi dia benci
dengan Yajid yang cakap besar serupa bertanam tebu di bibir mulut itu.
“Pakcik Yajid janganlah ganggu mak saya lagi. Pergilah pakcik urus anak
isteri pakcik di rumah.” Mat Mujakir akhirnya bersuara menahan marah.
Yajid terkejut. “Berani kau menasihat aku. Kau siapa?” marah Yajid.
“Saya Mat Mujakir, anak Awang Setia.” Selamba Mat Mujakir menjawab. Dia
masih boleh menahan sabar.