“Ok.. saya harap kita dapat memberikan komitmen kepada organisasi kita. Saya
amat memerlukan semua. Saya tak dapat meneraju sendiri. Saya perlukan
kerjasama semua”. Patah-patah kata Dr. Khalisah jelas dan teratur. Penuh
pengharapan. “Insha-Allah” jawab ahli mesyuarat yang muslim. “Ya Allah,
bantulah aku melaksanakan tugas dan tanggungjawab aku ini. Aku tak mampu
tanpa bantuan Mu". Aku berharap dan berdoa dalam hati. Terasa beratnya
menjadi seorang ketua. Beginilah hari-hari dilalui. Mengejar masa, menggalas
tanggungjawab, melunaskan kuliah, menghadiri mesyuarat, memberi kuliah
agama kepada anak-anak siswi. “Ya Allah. Sesungguhnya lelah ini Lillah.Hanya
untukMu” Aku menarik nafas dalam entah ke berapa kali nya.
Seperti biasa, dada langit adalah tempat aku melepaskan rasa bimbang, resah,
gelisah dan penatnya otak bekerja. Langit senja ini lebih indah dari hari
kelmarin. Sudah pasti langit senja esok lebih indah dari hari ini. Begitulah
pengamatanku semenjak 10 tahun di bumi bertuah ini. Tiada hari yang langitnya
tiada lakaran. Semuanya indah. Semuanya menakjubkan. Dari tingkap rumah
ku, kedengaran jelas azan maghrib. Menusuk hati ini mendengar laungannya.
Dalam ku sedut nafas ini. “ Dah 21 Oktober hari ni. Sekejapnya masa berlalu”
ujarku di hati.
“Umi.. nape Edy tak boleh ikut umi pergi Bandung esok? Si bongsuku bertanya.
“Edy kan sekolah. Nanti nak jawab apa dengan loushi” balasku. “Umi bagilah
surat pada loushi. Bagi tahu loushi kita ke Bandung” Dia membalasnya. Cuba
memujukku agar dia boleh mengikuti aku ke Bandung. “Nantilah kalau umi ada
duit lebih kita pergi sama-sama ye” “Sementara ni, umi pergi dulu, sebab umi
kerja” aku cuba memujuk. “Alah.. Edy nak ikut” balasnya lagi dengan memek
muka yang sedih. Aku dipeluknya. “Jom ngaji” Aku mengajaknya mengaji. Dia
diam namun akur dengan ajakanku. Malam pun berlalu pergi membawa semua
rasa. “Semoga esok perjalanan kami selamat” Doaku di dalam hati sebelum
mata meminta haknya.
“ Ya Allah, laparnya kami us” Ika bersuara. “ Ye. Sekejap lagi kita makan.
Depan sana ada tempat rehat. Kita solat dan makan sebelum teruskan
perjalanan ke Bandung” Ujarku. “Selamat datang ke Indonesia anak-anak.
Perkenalkan saya Pak Yayat. Selama 7 hari ni saya akan bersama bapak-
bapak, ibu-ibu dan anak-anak” Ujar Pak Yayat yang mengatur perjalanan kami
sepanjang di Bandung dan Jakarta. “Anak-anak rehat ya. Perjalanan ke
Bandung kalau tidak macet kira-kira 4 jam” Sambung Pak Yayat. Semua dengar
dengan tekun setiap bait penerangan Pak Yayat sambil menikmati pandangan
kali pertama Kota Jakarta dan pemandangan ke Bandung.