lebih peka terhadap masalah yang dihadapi oleh murid dalam PdPc. Sebagai seorang
guru yang bertanggungjawab, tindakan yang proaktif amat diperlukan untuk mengenal
pasti punca berlakunya masalah dalam PdPc dan mencari alternatif untuk
menyelesaikan masalah tersebut. Hal ini penting agar semua murid dapat mencapai
objektif pengajaran sekali gus dapat memahami isi pelajaran yang disampaikan oleh
guru.
CADANGAN TINDAKAN SUSULAN
Selepas penganalisisan dibuat bagi kajian ini, didapati bahawa kajian ini berjaya
membuktikan penggunaan bahan bantu mengajar KoDi berkesan untuk meningkatkan
kemahiran penggunaan /di/ sebagai kata sendi nama dan imbuhan awalan dalam
kalangan murid Tahun 4. Kajian lanjutan boleh dilaksanakan dengan membuat
penambahbaikan terhadap penggunaan intervensi ini. Antara cadangan untuk kajian
lanjutan ialah untuk menggunakan medium Teknologi Maklumat dan Komunikasi
(TMK) dengan melalui platform atau aplikasi yang sesuai. Hal ini demikian kerana
teknologi multimedia menjanjikan potensi yang besar dalam bidang pendidikan (Siti
Zaharah dan rakan, 2018).
Selain itu, pengkaji bercadang untuk menerapkan elemen seni dalam
pendidikan seperti penggunaan pensel warna atau unsur nyanyian yang berkaitan
dengan penggunaan /di/ sebagai kata sendi nama dan imbuhan awalan. Guru boleh
menggunakan lagu terkini yang sering kali dinyanyikan oleh murid. Tujuannya supaya
dapat meningkatkan keseronokan murid untuk belajar. Hal ini penting bagi menarik
minat murid untuk terlibat secara aktif dalam pengajaran Bahasa Melayu.
Seterusnya, pengkaji juga bercadang agar kajian dilaksanakan kepada semua
murid tahap 2. Dalam kajian ini, saya hanya melaksanakan kajian kepada murid Tahun
4 sahaja. Maka, pengkaji mencadangkan agar pendedahan dapat dibuat kepada
semua murid tahap 2 kerana aspek tatabahasa berkaitan kata sendi nama /di/ dan
imbuhan awalan di- terkandung DSKP Tahun 4 hingga Tahun 6. Justeru itu, murid
perlu mahir untuk menulis /di/ dengan betul. Sekiranya masalah ini tidak dibendung,
murid akan mengalami masalah dalam kemahiran menulis kerana ianya termasuk
dalam aspek kesalahan ejaan.